Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kapasiti Elektrik Sarawak Lebih Tinggi Berbanding Permintaan Semasa - Julaihi

26/05/2025 05:10 PM

KUCHING, 26 Mei (Bernama) -- Sarawak kini memiliki kapasiti penjanaan elektrik yang mencukupi bagi menampung keperluan domestik dengan kapasiti semasa sebanyak 5,898 megawatt (MW) berbanding permintaan berjumlah 4,887 MW.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata ini membolehkan pihaknya merancang penjanaan tenaga secara strategik untuk masa depan termasuk menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik 10,000 MW menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan yang diunjur meningkat kepada 7,074 MW.

“Menjelang 2035, Sarawak menetapkan sasaran kapasiti penjanaan 15,000 MW melalui pelbagai sumber tenaga, termasuk tenaga boleh baharu (TBB) seperti solar, sumber tenaga melata dan sistem simpanan tenaga hidro pam.

“Sebagai sebahagian daripada usaha ke arah mewujudkan Grid Tenaga Borneo (BPG) dan Grid Tenaga ASEAN (APG), Sarawak turut mempergiatkan eksport tenaga merentasi sempadan untuk merealisasikan visi sebagai ‘Battery of ASEAN’,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Julaihi berkata antara potensi tambahan TBB yang sedang dipertimbangkan termasuk pembangunan ladang solar berskala besar dan sistem penyimpanan tenaga hidro pam. 

“Beberapa syarikat swasta juga telah mengemukakan cadangan bagi projek penjanaan TBB yang kini dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan di lokasi seperti empangan Bengoh, Batang Ai, Bakun dan Murum.

Ad Banner

“Bagi sumber tenaga melata, kementerian dan Sarawak Energy telah mengadakan 24 sesi libat urus bersama komuniti yang terlibat di kawasan Sungai Gaat dan Sungai Tutoh, termasuk pelaksanaan Upacara Muja Menua di Sungai Gaat pada 4 April lepas sebagai sebahagian daripada pendekatan inklusif bersama masyarakat setempat,” katanya.

Setakat ini, Julaihi berkata Sarawak telah mengeksport kira-kira 100 MW tenaga ke Kalimantan Barat sejak 2016, manakala eksport ke Sabah dijangka bermula suku keempat 2025 dengan jumlah antara 30 hingga 50 MW. 

“Dalam masa sama, perancangan sedang dilakukan untuk mengeksport tidak kurang daripada 1,000 MW tenaga ke Semenanjung Malaysia dan sehingga 1,000 MW ke Singapura serta ke Brunei,” katanya.

Beliau berkata langkah itu dijangka memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju tenaga mampan di rantau ini serta menyokong aspirasi tenaga hijau dan peralihan tenaga bersih pada peringkat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan