KOTA BHARU, 26 Mei (Bernama) -- Faktor elektrik menjadi punca 77 peratus kebakaran struktur yang direkodkan di Kelantan dalam tempoh dua tahun berturut-turut sejak 2023, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Farhan Sufyan Borhan.
Beliau berkata pada 2023, sebanyak 689 kes kebakaran struktur direkodkan dengan 537 kes berpunca daripada elektrik manakala tahun lepas meningkat kepada 821 kes kebakaran dengan 634 kes dikenal pasti faktor yang sama.
“Jumlah ini merisaukan pihak kami dan tahun ini kita jangka punca kebakaran yang berlaku juga disebabkan faktor elektrik, kebiasaannya daripada barangan elektrik dan sistem pendawaian di rumah, terutamanya membabitkan rumah jenis kayu,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Tunjong di sini hari ini. .
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyelenggara sistem pendawaian di kediaman masing-masing serta memeriksa barang elektrik yang digunakan terutamanya yang melibatkan penggunaan lebih 10 tahun.
Dalam perkembangan lain, Farhan Sufyan berkata pihaknya menerima empat unit pam air berkapasiti tinggi untuk membantu pemadaman pembakaran terbuka sebagai langkah persediaan berdepan kebakaran di tanah gambut.
Beliau berkata pam air yang diterima pada akhir tahun lepas itu telah diagihkan kepada empat balai yang menerima panggilan kebakaran tertinggi iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, BBP Pasir Puteh, BBP Tunjong dan BBP Tanah Merah.
"Kita juga ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa membersihkan kawasan persekitaran di kediaman masing-masing kerana pada musim Monsun Barat Daya haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking akan mencari tempat untuk berlindung," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial