PUTRAJAYA, 26 Mei (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyambut kedatangan pasangan pemimpin ASEAN di Kompleks Seri Perdana, di sini bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Antara tetamu kehormat ialah Wanita Pertama Filipina Louise Araneta-Marcos, Le Thi Bich Tran dari Vietnam, Vandara Siphandone (Laos), Dr Pich Chanmony (Kemboja), dan Loo Tze Lui (Singapura).
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Timbalannya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan isteri kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
Dr Wan Azizah menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan delegasi berkenaan, dan ketika berucap, beliau menzahirkan penghargaan atas kehadiran pasangan pemimpin ASEAN dan kepentingan diplomasi kebudayaan dalam memperkukuh hubungan serantau.
“Tema ASEAN tahun ini ialah Keterangkuman dan Kemampanan. Sebagai pengerusi sidang kemuncak tahun ini, Malaysia berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa pembangunan mesti memanfaatkan setiap komuniti dan pertumbuhan kita harus menghormati manusia dan alam sekitar.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan tentang kepentingan ‘pembangunan yang benar-benar dikongsi bersama’, memastikan tiada sesiapa yang tertinggal termasuk bukan sahaja peluang ekonomi, tetapi juga maruah, identiti dan kesejahteraan semua,” katanya.
Dr Wan Azizah turut menekankan peranan penting pasangan pemimpin ASEAN dalam mempromosikan nilai keterangkuman dan kemampanan semasa sidang kemuncak tahun ini.
“Sebagai pasangan kepada pemimpin ASEAN, kita memainkan peranan penting dalam memupuk semangat ini. Melalui usaha kita dalam kebajikan masyarakat, pendidikan, seni dan budaya, kita berharap dapat menyinari semangat kasih sayang dan hubungan erat. Kita membina jambatan bukan sahaja antara negara, tetapi antara jiwa,” katanya.
Para tetamu turut menikmati persembahan choral speaking oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama, Subang Jaya, tarian tradisional oleh Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negara (JKKN) Selangor serta persembahan muzik oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah Istana Budaya.
Program itu diakhiri dengan pameran buah-buahan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), menonjolkan pelbagai hasil pertanian Malaysia.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan berlangsung hari ini dan esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara, berserta Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial