Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kepengerusian ASEAN: Malaysia Wajar Manfaat Peluang Perkukuh Kebebasan Media Serantau

26/05/2025 11:43 AM

Oleh Nurul Syahirah Zulkifli

KANGAR, 26 Mei (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 wajar memanfaatkan peluang untuk memimpin usaha memperkukuh kebebasan media serantau terutama dalam menghadapi cabaran era digital dan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP) Syed Azlan Sayid Hizar berkata kebebasan media yang seimbang dan beretika adalah asas penting bagi memastikan kestabilan maklumat, ketelusan dasar serta kematangan demokrasi dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Malaysia mempunyai peluang strategik untuk mengetuai perbincangan mengenai etika, kebebasan dan masa depan kewartawanan ASEAN secara menyeluruh misalnya AI yang boleh menggugat kredibiliti media konvensional, mempercepat penyebaran berita palsu dan menjejaskan kepercayaan awam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” berlangsung di Kuala Lumpur bermula hari ini hingga esok.

Syed Azlan berkata berdasarkan Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 oleh Reporters Without Borders (RSF), tahap kebebasan media dalam kalangan negara ASEAN menunjukkan jurang ketara dengan Thailand berada di tangga ke-85 diikuti Malaysia (88), Brunei (97), Filipina (116) dan Singapura (123).

Indonesia (127), Laos (150), Kemboja (161) manakala Myanmar dan Vietnam masing-masing di kedudukan ke-169 dan 173 daripada 180 negara.

Sehubungan dengan itu, tindakan tuntas wajar diambil bagi memastikan kebebasan media di negara ini terus berada pada kedudukan terbaik, katanya. 

Syed Azlan berkata negara yang memiliki kebebasan media beretika dan profesional kebiasaannya boleh menarik banyak pelaburan asing kerana dianggap lebih stabil dan telus daripada segi dasar awam.

“Wartawan bukan penghalang pembangunan, malah kami pelindung integriti maklumat. Sekiranya golongan ini diberi kebebasan secara beretika, maka rakyat akan lebih yakin dengan pentadbiran,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Pusat Kewartawanan Digital ASEAN bagi menyelaras latihan dan pembangunan teknologi selain inisiatif semakan fakta secara serantau melibatkan kerjasama negara anggota.

“Ini juga medan terbaik untuk menunjukkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menegakkan kebebasan bersuara yang seimbang dan membina, sejajar dengan pendekatan reformasi media yang sering beliau laungkan sebelum ini,” katanya.

Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, Syed Azlan berharap ia dapat dijadikan platform untuk mewujudkan kod etika penggunaan AI dalam pemberitaan.

Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL),  akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan