KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Chinh dan delegasi beliau tiba kira-kira 5.40 petang disambut Awang Bemee dan kemudiannya mengadakan perbincangan sebelum disusuli pertemuan dengan Johari.
Turut hadir dalam kedua-dua pertemuan berkenaan yang masing-masing berlangsung kira-kira 30 minit ialah Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Delegasi Vietnam itu turut disertai Menteri Sains dan Teknologi Nguyen Manh Hung, Menteri Perdagangan dan Industri Nguyen Hong Dien serta Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Nguyen Van Hung.
Pertemuan itu antara lain sempena Perhimpunan Antara Parlimen Interface ASEAN (ASEAN-AIPA Interface) ke-14 yang akan berlangsung esok bagi mengeratkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Vietnam khususnya antara institusi Parliman kedua-dua negara.
Awang Bemee kemudian turut menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan Chinh dan delegasi beliau, di sebuah hotel di sini malam ini.
Chinh yang tiba semalam, berada di Malaysia untuk lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang akan berlangsung di sini, esok dan Selasa ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial