KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menerima kunjungan hormat Naib Presiden Pertama Dewan Negara Kemboja Kittisethabindit Cheam Yeap di Bangunan Parlimen hari ini.
Delegasi dari Kemboja seramai lima orang itu tiba di bangunan itu pada 2.30 petang sebelum mengadakan perbincangan dengan Johari kira-kira 40 minit.
Menurut kenyataan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, kunjungan itu mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala menerusi saluran diplomasi antara Parlimen, sejajar matlamat mengeratkan kerjasama serantau di bawah rangka Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA).
“Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, pelancongan dan teknologi.
“Ia khususnya dalam menggalakkan pelaburan dua hala, memperkasakan pelancongan budaya dan warisan serta meneroka potensi ekonomi digital yang mampan di era pascapandemik,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Johari yang juga Presiden AIPA menzahirkan komitmen Parlimen Malaysia untuk terus menguatkan peranan institusi legislatif dalam menyokong dasar-dasar pembangunan yang berdaya saing, inklusif dan berorientasikan masa hadapan.
“Beliau turut merakamkan penghargaan atas penglibatan aktif Parlimen Kemboja dalam platform serantau seperti AIPA menjelang ASEAN-AIPA Leaders’ Interface yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025.
“Pertemuan ini mengukuhkan lagi keyakinan bahawa hubungan erat antara institusi Parlimen dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas dan bermakna sekali gus menjadikan ASEAN sebagai blok serantau yang dinamik, stabil dan berpaksikan rakyat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial