BETONG (Sarawak), 25 Mei (Bernama) -- Jambatan Batang Saribas 1 berhampiran Pusa di sini menjadi jambatan kelima yang siap dibina di bawah projek Rangkaian Jalan Pesisir Sarawak, menandakan satu lagi pencapaian besar dalam pembangunan infrastruktur negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jambatan bernilai RM375.5 juta itu kini dibuka kepada orang ramai, sekali gus menamatkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri untuk menyeberang Sungai Saribas selama beberapa dekad.
“Jambatan ini, bersama dengan jambatan lain yang sedang dibina di sepanjang pesisir Sarawak adalah sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan kesalinghubungan jalan raya, khususnya bagi komuniti luar bandar,” kata Uggah yang mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis praperasmian jambatan itu hari ini
Sebelum pembukaan jambatan sepanjang 1.55 kilometer itu, empat lagi projek jambatan yang telah siap dibina ialah Jambatan Batang Rajang, Muara Lassa, Marudi dan Jepak, selaras dengan usaha kerajaan Sarawak untuk merealisasikan rancangan membina keseluruhan 16 jambatan di bawah Rangkaian Jalan Pesisir.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata enam lagi jambatan dijangka siap tahun ini, iaitu di Sungai Lingga, Batang Igan, Batang Lupar 1, Sungai Limbang, Sebauh dan Sejingkat.
Uggah berkata menjelang tahun depan, kerajaan negeri menyasarkan untuk menyiapkan jambatan Batang Paloh, Krian, Batang Lupar 2 dan Batang Saribas 2.
“Amat mengujakan untuk melihat semua struktur ini menjadi kenyataan. Ia secara signifikan mengurangkan masa perjalanan dan menjadikan Sarawak lebih dekat,” katanya sambil menambah pengguna tidak perlu lagi menunggu feri selama 30 minit susulan pembukaan Jambatan Batang Saribas 1 yang melancarkan lagi jaringan perhubungan dalam Bahagian Betong.
Beliau berkata kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memastikan para kontraktor mematuhi garis masa projek serta standard kualiti dalam menyiapkan semua jambatan berkenaan, yang bakal membawa impak transformasi kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi komuniti luar bandar.
“Kami komited terhadap janji kepada masyarakat luar bandar. Penyampaian ini adalah bukti bahawa kami serius dalam usaha pembangunan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial