Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektif ASEAN dijangka meningkat kepada 4.7 peratus pada 2025 berbanding 4.2 peratus tahun lepas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25 hari ini turut membincangkan kadar inflasi di rantau ini yang dijangka berada pada tahap tiga peratus.
“Terdapat perbincangan dan pembentangan oleh Sekretariat ASEAN apabila kami berbincang mengenai tahun 2024 dan apa unjuran kami untuk tahun 2025 dari segi pertumbuhan KDNK. Turut dibincangkan ialah jangkaan kadar inflasi bagi rantau ini.
“Oleh itu, hari ini, jangkaan ialah 4.7 peratus pada 2025 untuk pertumbuhan KDNK ASEAN dan inflasi pada sekitar tiga peratus,” katanya pada sidang media selepas tamat mesyuarat Majlis AEC ke-25 di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, unjuran itu lebih tinggi daripada purata berbanding kadar pertumbuhan global dan ini didorong oleh eksport yang kukuh dan perbelanjaan modal awam di ekonomi yang lebih besar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial