Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Terowong Flora Serikan Ketibaan Pemimpin Ke Sidang Kemuncak ASEAN

25/05/2025 10:12 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Struktur terowong flora indah sepanjang 320 meter di pekarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini bukan sekadar hiasan, tetapi juga menjadi simbol sambutan mesra Malaysia kepada para pemimpin ASEAN bersempena dengan Sidang Kemuncak ke-46 pada 26 hingga 27 Mei ini. 

Ketua Sekretariat Induk Logistik ASEAN Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata struktur terowong itu didirikan khas sebagai laluan utama ketibaan setiap pemimpin dari negara anggota ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan menyambut kedatangan setiap pemimpin negara di taman bunga yang terletak di pertengahan struktur terowong itu sebagai pit-stop (tempat berhenti) yang berlatarbelakangkan Menara Berkembar KLCC bagi merakam momen kehadiran mereka semasa sidang kemuncak berkenaan.

"Perdana Menteri akan menyambut ketibaan rasmi pemimpin-pemimpin negara ASEAN pada 26 Mei dan dua ketibaan pada sebelah pagi 27 Mei untuk ketua-ketua negara dan ketua kerajaan GCC serta Perdana Menteri China (Li Qiang) pada sebelah petang hari sama," katanya kepada Bernama.

Struktur terowong berwarna merah, biru dan kuning itu turut dihiasi dengan pelbagai jenis bunga berwarna-warni bagi mencerminkan semangat kebersamaan, keharmonian dan perpaduan yang menjadi teras kerjasama ASEAN, seiring untuk mengangkat tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 "Keterangkuman dan Kemampanan".

"Kita akan tambah bunga raya segar yang menjadi elemen utama (struktur terowong) ini. Penggunaan bunga raya, iaitu bunga kebangsaan Malaysia sebagai simbolik negara ini selaku Pengerusi ASEAN tahun ini," katanya.

Bagi konsep keterangkuman, Raja Saifful Ridzuwan berkata pemilihan warna utama, iaitu merah, biru, putih dan kuning ditonjolkan pada struktur terowong berkenaan diinspirasikan menerusi warna logo ASEAN yang melambangkan semua negara anggota di rantau ini.

"Bagi elemen kemampanan pula, kita cuba menerapkan visual kehijauan yang terdapat di Taman KLCC. Jadi, tema keterangkuman dan kemampanan kita terapkan dalam reka bentuk terowong ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata struktur terowong berkenaan siap didirikan dalam tempoh tujuh hari, dengan keseluruhan proses bermula daripada perbincangan sehingga kelulusan pada peringkat tertinggi mengambil masa kira-kira tiga bulan.

"Saya difahamkan untuk kontraktor sahaja hampir 150 orang terlibat dalam reka bentuk ini bermula daripada kerja-kerja asas, pelandskapan, aspek pembinaan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata kawasan di sekitar Taman KLCC, terutama di sepanjang laluan struktur terowong itu dari Hotel Mandarin Oriental ke Hotel Traders akan dikawal ketat oleh pihak berkuasa atas faktor keselamatan bermula pada 25 hingga 27 Mei, selain memastikan kelancaran proses semasa acara menyambut pemimpin negara luar itu.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meletakkan lebih 2,000 anggota dan pegawai termasuk lebih 1,000 anggota dan pegawai ditugaskan di sekitar KLCC serta hotel-hotel berdekatan yang menjadi penginapan rasmi pemimpin negara serta delegasi," katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bakal menghimpunkan para pemimpin negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu-isu serantau serta merangka hala tuju masa depan kerjasama blok itu.

Turut dijadualkan berlangsung ialah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, mencerminkan usaha ASEAN memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan