Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dari Catatan Tangan Ke Teknologi Digital: Peranan Dan Cabaran Wartawan Era Moden

25/05/2025 09:43 AM

Oleh Nur Afiradina Arshad

IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Suatu ketika dulu, pen, buku nota dan perakam suara merupakan ‘rakan karib’ kepada wartawan, namun ledakan teknologi menyebabkan peralatan tradisional ini semakin diketepikan dan digantikan dengan kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi WhatsApp.

Wartawan The Star Biro Perak, Manjit Kaur, 49, merupakan individu yang masih setia mengunakan buku nota dan pen sebagai alat mencatat segala maklumat sama ada ketika ucapan dalam sesuatu majlis, sidang media atau pertuduhan di mahkamah.

Mungkin dianggap ketinggalan zaman, namun Manjit yang menceburi bidang kewartawanan sejak 2000 itu berkata ia tidak menjadi halangan untuknya menghasilkan berita dengan pantas, padat serta tepat dan pada masa sama tetap ‘berdamai’ dengan perkembangan teknologi masa kini.

“Dulu, wartawan hanya menggunakan telefon kecil, sukar untuk membuat berita seperti sekarang dan disebabkan itu perlu balik ke pejabat untuk menyiapkan berita. Komputer pula skrin hitam, tulisan warna hijau atau putih, tiada semakan ejaan yang boleh membantu menaip perkataan dengan betul dan tepat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, Manjit berkata dengan adanya kumpulan WhatsApp, cara mendapatkan maklumat dan fakta berhubung sesuatu kejadian seperti kemalangan atau jenayah menjadi amat mudah dan pantas, wartawan hanya perlu mengesahkan kesahihannya dengan pihak berkuasa seperti polis atau bomba.

“Teknologi ini membantu mengelakkan wartawan kena scoop atau didahului oleh media lain berbanding sebelum ini, kita hanya tahu sekiranya terlepas mana-mana berita melalui surat khabar yang diterbitkan pada keesokannya,” katanya yang pernah berhadapan situasi lima keluarga maut dalam tragedi tsunami pada 2004 di Pulau Pinang.

Ketua Sinar Harian Biro Perak Saifullah Ahmad, 40, pula melihat cabaran wartawan ketika ini adalah dari segi mendapatkan sumber sahih dan menangani berita palsu yang tular dengan pantas menerusi pelbagai medium media sosial.

Katanya, orang ramai boleh menyiarkan maklumat tanpa etika hingga menyebabkan wartawan daripada organisasi yang sah berdepan cabaran mendapatkan maklumat sahih .

“Oleh itu, persediaan penting menjadi wartawan masa kini ialah ketahanan mental dan fizikal. Wartawan adakalanya menjadi sasaran netizen yang tidak berpuas hati dengan berita yang tidak mengikut selera mereka,” katanya.

Saifullah berkata wartawan kini banyak menerima kecaman di sebalik tugasan menyampaikan berita, hinggakan menyampaikan berita benar menjadi satu perkara yang berat untuk diterima pembaca.

“Selain itu penggunaan AI yang meluas kini juga jadi cabaran apabila ia membantu menyediakan berita dengan pantas namun harus berhati-hati kerana bukan semua fakta dihidangkan oleh penyedia AI benar dan sahih,” katanya.

Sementara itu, S. Balakrishnan, 65, yang berkhidmat sebagai wartawan sambilan akhbar Tamil Nanban Perak mengakui kewangan merupakan faktor utama dihadapi industri atau bidang kewartawanan masa kini hingga ada syarikat terpaksa gulung tikar. 

“Sewaktu mula memasuki bidang kewartawanan pada 1983 ketika itu di bawah surat khabar Tamil Nesan, pendapatan seorang wartawan sangat membanggakan, bonus pun hingga empat bulan gaji.

“Kini pendapatan sambilan hanya sekitar RM1,500. Kadang-kadang kerja tidak menentu, masa bersama keluarga tiada jaminan dan ada masanya terpaksa bersengkang mata jika ada kes besar," katanya.

Menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 tahun ini, Balakrishnan berharap orang ramai lebih terdedah kepada bidang kewartawanan selain membincangkan isu-isu berkaitan termasuk kekurangan dana yang dihadapi organisasi media.

Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL),  akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan