KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar ASEAN bersetuju bahawa usaha untuk meneruskan libat urus dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar mesti diteruskan demi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap krisis berlarutan di negara itu, yang bermula sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Feb 2021.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, merancang untuk mengadakan kunjungan ke Myanmar bagi menyerahkan secara rasmi "senarai hasrat” yang telah dikumpulkan daripada pihak-pihak berkepentingan kepada Majlis Pentadbiran Negara (SAC).
“Sebagai Pengerusi ASEAN, kita merancang untuk melawat dan mengadakan perbincangan dengan Myanmar kerana kita telah bertemu dengan rakyat dan pihak berkepentingan berbeza.
“Kita tahu senarai hasratnya, kini kita ingin membentangkan kepada SAC senarai pihak berkepentingan berkenaan … kemudian, kita akan lihat maklum balas daripada pihak SAC,” katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Konsultasi Tidak Formal pertama yang melibatkan Pengerusi ASEAN sebelum ini, Laos; Pengerusi semasa, Malaysia; dan Pengerusi akan datang, Filipina. Mesyuarat itu akan diperluas kemudian untuk melibatkan semua Menteri Luar ASEAN kecuali Myanmar.
Mohamad berkata mesyuarat turut mendengar pembentangan laporan oleh Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar Tan Sri Othman Hashim berhubung perkembangan terkini di negara berkenaan.
Beliau berkata ASEAN tetap komited dalam memastikan Myanmar mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) yang telah dipersetujui oleh semua pemimpin ASEAN pada 2021.
“5PC ini mudah – hentikan semua keganasan, mulakan dialog inklusif, benarkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, lantik utusan khas ASEAN dan benarkan utusan khas itu bertemu semua pihak.
“Namun, pelaksanaan konsensus ini berdepan kesukaran kerana masalah defisit kepercayaan dan konflik etnik yang telah berlarutan selama beberapa dekad di Myanmar,” katanya.
Mohamad berkata krisis yang berlaku di Myanmar bukan hanya masalah dalaman negara itu, sebaliknya telah memberi kesan kepada kestabilan rantau ASEAN termasuk isu pelarian dan jenayah rentas sempadan.
“ASEAN tidak mahu mencampuri urusan dalaman Myanmar, tetapi sebagai keluarga besar, kita ada tanggungjawab untuk bantu. Masalah Myanmar kini sudah menjadi masalah kita bersama,” katanya.
Menjawab pertanyaan sama ada ASEAN akan terus membuka ruang kepada Myanmar untuk kembali menyertai perbincangan politik blok itu, Mohamad berkata negara terbabit tidak dilarang menyertai sepenuhnya, namun ketika ini hanya dijemput menghadiri mesyuarat bukan politik.
“Kita tidak larang mereka (Myanmar). Kita masih jemput untuk program bukan politik. Mereka akan hadir,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), disusuli dua sidang kemuncak utama, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, sebagai platform penting memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
Malaysia sebelum ini telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial