Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Great Eastern Takaful Dan Microsoft Malaysia Lancar “Minecraft Education Challenge 2025”

24/05/2025 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB), dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Microsoft Malaysia melancarkan Minecraft Education Challenge 2025, inisiatif digital bertujuan mencetus inspirasi terhadap kesedaran alam sekitar dan celik kewangan dalam kalangan pelajar sekolah dengan menggalakkan inovasi serta pemikiran kritis melalui didik hibur.

GETB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sejak diperkenalkan pada 2020, cabaran itu kini terbuka kepada semua sekolah, termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah swasta dan antarabangsa, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keterangkuman dan peluang kepada generasi muda di seluruh Malaysia.

“Program ini menggunakan Minecraft, satu permainan digital paling popular dalam kalangan remaja masa kini untuk memberikan pengalaman digital yang mendalam dan menarik.

“Melalui platform interaktif itu, para pelajar dapat mendalami prinsip perlindungan alam sekitar dan Takaful di samping mengasah kemahiran digital serta penyelesaian masalah,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Shahrul Azlan Shahriman berkata program ini menjadi platform untuk memupuk kesedaran tentang Takaful dan tanggungjawab kewangan dengan cara yang lebih relevan dengan generasi masa kini, seperti pengenalan ‘perisai GETB’ yang direka khas sebagai satu elemen dalam cabaran berkenaan.

“Pelancaran secara digital pada hari ini bukan sekadar satu cabaran, tetapi satu langkah ke arah kelestarian dan proses pembelajaran yang menyeronokkan. Di Great Eastern Takaful, kami komited untuk berinteraksi dengan generasi muda melalui teknologi yang dapat mencetuskan kreativiti serta memperkukuh nilai-nilai bersama,” katanya.

Meneruskan kesinambungan inisiatif GET-Green, menurut syarikat itu program ini turut mengetengahkan kesedaran proses hasil semula (upcycling) dan prinsip reka bentuk hijau dalam rekaan  pelajar melalui cabaran ‘Rumah Mesra Alam dan Kalis Bencana’.

“Tugasan ini menggalakkan pelajar untuk tidak hanya memfokuskan kepada aspek visual semata-mata tetapi perlu mempertimbangkan impak sebenar setiap pilihan reka bentuk mereka.

“Di samping merangka dan membina rumah mesra alam dan tahan bencana mereka sendiri, para pelajar turut diperkenalkan dengan asas kehidupan lestari, pemuliharaan sumber, dan penggunaan secara berhemat,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Shahrul Azlan turut berkata syarikat berbangga kerana dapat merealisasikan usaha kolaboratif ini dan teruja untuk menyaksikan bagaimana para pelajar di seluruh negara akan menggunakan platform ini untuk menzahirkan bakat dan inovasi mereka. 

“Paling penting, kami berharap cabaran ini dapat memberikan pemahaman asas tentang literasi kewangan dan kesedaran alam sekitar buat para pemimpin masa hadapan,” katanya.

Para peserta berpeluang memenangi hadiah menarik, menjadikan pengalaman itu lebih bermakna apabila mereka belajar, berkarya, dan bersaing dalam suasana menyeronokkan dan berteraskan nilai-nilai murni. Untuk maklumat lanjut, layari www.mcedumy.com/mec-2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan