TUMPAT, 24 Mei (Bernama) -- Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 mencapai kemajuan fizikal sebanyak 96 peratus setakat ini dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2026.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata pembangunan fasa satu itu membabitkan tiga komponen utama daripada peruntukan pembangunan kerajaan Persekutuan berjumlah RM669 juta.
Beliau berkata komponen itu membabitkan pembangunan tebatan banjir, saliran mesra alam dan living river.
“Dengan siapnya fasa pertama ini, ia dijangka memberi manfaat dengan melindungi kira-kira 95,000 penduduk sekitar Sungai Kelantan yang perlu berpindah akibat banjir.
“Di samping itu, ia dijangka dapat mengurangkan kerugian (fizikal) dianggarkan lebih RM4 bilion setahun akibat banjir apabila projek itu siap kelak,” katanya kepada pemberita selepas program turun padang Petra Skuad Zon Timur ke kawasan PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 di Kampung Laut di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Mohamad Radzi Abdul Talib memaklumkan PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 kini memasuki fasa reka bentuk dan melibatkan pembangunan anak-anak sungai serta saliran sekitar bandar Kota Bharu.
Beliau berkata proses pengambilan tanah di kawasan terbabit juga dijangka dilaksanakan seawal-awalnya pada penghujung tahun hadapan.
Program hari ini turut menyaksikan Petra Skuad Zon Timur berkunjung ke Pusat Beli-Belah AEON Kota Bharu bagi meninjau lokasi pengecasan kenderaan elektrik (EV) TNB Electron di kawasan berkenaan.
Sehingga kini, 18 lokasi pengecas TNB Electron di Semenanjung termasuk pengecas pantas arus terus (DC) dan arus ulang-alik (AC) yang tersedia bagi kenderaan EV termasuk lima di Pantai Timur.
Lima lokasi berkenaan ialah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka Lebuhraya Pantai Timur 2 arah barat dan arah utara, Stesen Minyak Petron Selising, Kelantan; Stesen Minyak Kampung Gemuroh, Terengganu serta Pusat Beli-Belah AEON Kota Bharu.
Terdahulu, Mad Zaidi melepaskan peserta konvoi Petra Skuad Zon Timur yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Bangunan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Kelantan.
Petra Skuad adalah program turun padang kementerian dalam meninjau bagi mendapatkan maklum balas secara langsung berkaitan isu tenaga dan air setempat, di samping meningkatkan penguatkuasaan dalam isu berkaitan usaha memastikan keberkesanan dasar dapat dilaksanakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial