Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Media Arus Perdana Tidak Lapuk, Bantu Perniagaan Lonjak Reputasi

24/05/2025 12:18 PM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUANTAN, 24 Mei (Bernama) -- Media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook terus menjadi gedung promosi pilihan generasi baharu, namun media arus perdana kekal menjadi 'pendamping setia' usahawan yang ingin membina reputasi dan kepercayaan pengguna terhadap produk tempatan.

Sama ada media cetak atau elektronik, media arus perdana menjadi platform penting dalam menyalurkan maklumat sahih, termasuk mengenai pelbagai bentuk insentif kerajaan dan dasar semasa yang memberi impak langsung kepada komuniti peniaga.

Perkara itu diakui oleh pengusaha batik di Tanjung Lumpur di sini, Shaifuddin Mustafa, 61, yang berpendapat media arus perdana masih berperanan sebagai 'jambatan' antara peniaga dengan pengguna.

Beliau yang mengusahakan perniagaan berkenaan sejak 1993 bersama isteri Zalina Husain, 60, berkata inisiatif kerajaan dalam mempromosikan batik yang disalurkan menerusi laporan berita media tempatan secara tidak langsung membantu industri itu.

"Media sosial penting tetapi media cetak dan elektronik ini juga ada peranan tersendiri, misalnya apabila pemakaian batik diketengahkan dan disebarkan sudah tentu kami dapat tempiasnya sekali gus membantu jualan dalam kapasiti sedia ada.

Ad Banner

“Bila orang datang cari batik, ini membantu mengetengahkan perniagaan kami. Selain itu media arus perdana ini penting untuk mengetahui sekiranya ada maklumat berkaitan bantuan atau inisiatif yang kerajaan berikan kepada usahawan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Bagi peniaga roti Nazidah Ali, 42, laporan berita mengenai perniagaannya yang diterbitkan secara dalam talian dan media cetak telah membantu mempromosikan jualan di samping membina keyakinan pelanggan terhadap produknya.

Nazidah yang mesra disapa ‘Kak gee’ itu berkata bukan mudah untuk menembusi media arus perdana dan beliau menganggap peluang itu sebagai batu loncatan untuk mengetengahkan jenama perniagaannya, iaitu Roti Gebhoo yang diusahakan di sini sejak 2018. 

"Beberapa agensi media telah menerbitkan berita mengenai produk roti saya sehingga membuatkan jenama ini lebih dikenali di samping meningkatkan kredibiliti perniagaan.

“Apabila sesuatu perniagaan dilaporkan oleh wartawan profesional melalui media arus perdana, ia membawa mesej bahawa jenama berkenaan sah, serius dan telah melalui penilaian kandungan yang beretika.

“Berita yang dipaparkan di surat khabar itu bagi saya ialah sejarah yang tidak dapat dipadamkan berbanding kandungan di media sosial yang bila-bila masa sahaja boleh hilang,” katanya. 

Seorang pengusaha gula kabung di Kampung Peruang Kuala Lipis, Marzaitul Husna Abu Johar, 31, berkata laporan berita oleh media arus perdana dapat mempromosikan produk dengan lebih berkesan kerana sumber informasi yang dipercayai masyarakat berbanding platform media sosial yang sering dibanjiri maklumat tidak sahih.

Beliau berkata terdapat lambakan jualan gula kabung yang dijual secara dalam talian, namun pemilik perniagaan tidak dikenali selain kualiti produk juga diragui. 

“Di sini media arus perdana telah membantu beri persepsi positif, misalnya pelbagai jenama gula kabung ada di pasaran tetapi orang lebih percaya dan yakin untuk membeli dengan kami sebab pernah keluar surat khabar,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan