JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha membina negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu menekankan aspek pembinaan insan yang memiliki nilai kemanusiaan tinggi.
Beliau berkata konsep Malaysia MADANI menuntut rakyat, terutamanya golongan muda untuk memahami erti sebenar pembangunan manusia yang merangkumi ciri-ciri mulia seperti kemanusiaan, kesederhanaan dan persefahaman antara kaum serta agama.
“Yang kita nak bangunkan itu manusia dan manusia itu ada elemennya… ada cirinya, nilainya, kemampuannya. Anak-anak muda (perlu) beri contoh yang baik bagaimana negara ini boleh disatukan.
“Dengan semangat Malaysia MADANI, ini tidak bermakna kita kurangkan semangat kaum, cintakan atau hayati agama kita. (Malah kita juga perlu) muliakan budaya kita, seni kita, sastera kita, bahasa kita… tidak ada salahnya asalkan anak muda harus beri contoh,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Rakyat 2025 Johor di Toppen Shopping Centre di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh selaku menteri peneraju program berkenaan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Anwar berkata membina bangunan pencakar langit atau infrastruktur moden tidak akan memberi makna sekiranya rakyatnya bersikap ganas, rakus dan angkuh serta tidak mempunyai perasaan kemanusiaan.
Perdana Menteri turut menegaskan aktiviti sukan, seni dan budaya perlu digalakkan kerana ia antara pendekatan penting dalam membina semangat perpaduan dan kesepakatan dalam kalangan rakyat.
“Sebab itu kita galakkan sukan dan olahraga, kita galakkan acara seni, kita galakkan acara budaya yang luas… untuk apa? Untuk ada semangat, persefahaman, kesepakatan, kesetiaan antara satu sama lain,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menekankan nilai-nilai berkenaan perlu terus dipupuk dan dijadikan teras dalam membangunkan negara yang bersatu dan harmoni.
“Saya harap pimpinan dan peserta belia yang bersama hari ini, harus ingat prinsip ini,” kata beliau.
Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK) serta Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
Selain itu, Perdana Menteri bersama-sama Hannah, Onn Hafiz dan Shamsul Azri turut meninjau perkhidmatan ditawarkan di reruai agensi serta jabatan kerajaan di program itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial