KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha memastikan infrastruktur dan kemudahan berada pada tahap tertinggi demi memperkukuh keyakinan pelabur serta kejayaan menyeluruh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pertumbuhan baharu Johor.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menghargai taklimat Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkenaan kemajuan pelaburan luar khususnya di JS-SEZ.
“Alhamdulillah, inisiatif antara dua negara ini telah berjaya menarik minat dan keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur untuk melabur di Johor,” kata beliau.
Perdana Menteri yang tiba di Johor pagi tadi berkata beliau menghadiri beberapa perencanaan penting, bermula dengan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar bersama Onn Hafiz dan pimpinan negeri dan Persekutuan.
“Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan komitmen terhadap tadbir urus yang cekap dan berintegriti, khususnya dalam aspek pengurusan, kewangan dan pentadbiran.
“Hal ini termasuk soal keselamatan dan kesihatan rakyat dalam pelaksanaan projek yang melibatkan perolehan peralatan dan perkhidmatan.
“Kita perlu menerapkan pendekatan berhikmah dan berfikir di luar kotak agar penjimatan yang dicapai dapat disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak, terutamanya dalam bidang kesihatan awam dan pendidikan,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan negeri turut membentangkan projek-projek pembangunan yang menjadi keutamaan di Johor termasuk isu bekalan air mentah, sistem akses di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.
"Pembentangan turut melibatkan pengoperasian Hospital Pasir Gudang, hal ehwal tanah serta beberapa projek prapelaksanaan yang sedang dalam perancangan," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial