Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kepelbagaian budaya dan semangat kebersamaan ASEAN adalah elemen utama yang diterap dan diketengahkan dalam persembahan untuk delegasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang bakal berlangsung minggu ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata setiap persembahan disusun bukan sahaja menonjolkan keunikan budaya Malaysia yang berbilang kaum, tetapi turut memberi penghormatan kepada budaya negara-negara ASEAN dan rakan luar seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Beliau berkata JKKN yang menerajui segmen persembahan dalam majlis rasmi termasuk Persembahan Majlis Makan Malam Gala pada 26 Mei bakal membawa pendekatan memperkukuh hubungan serantau melalui garapan budaya yang inklusif dan mewakili semangat ASEAN.
“Kita gabungkan elemen pelbagai budaya, dari tarian kontemporari yang mencerminkan identiti Malaysia, hinggalah lagu-lagu ASEAN yang dinyanyikan dalam pelbagai bahasa serantau,” katanya kepada Bernama.
"Sebab yang penting kita mahu semua delegasi merasai 'sense of belonging' apabila menyaksikan persembahan dan masing-masing boleh menikmati pengisian persembahan, perkara ini juga selari dengan Tema Kepengerusian ASEAN 2025 yang mengangkat semangat Keterangkuman dan Kemampanan antara negara-negara anggota,” katanya kepada Bernama.
Berkongsi berkenaan pengisian majlis makan Malam Gala, Mohd Amran berkata majlis itu juga akan diserikan oleh persembahan dari artis terkenal tanah air iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Zainal Abidin, Shila Amzah, Bob Yusof, Asmidar dan Yasmin Aziz.
"Persembahan juga bersesuaian dengan khalayak majlis yang datang dari pelbagai negara, misalnya lagu bahasa arab ‘Kun Anta’ akan dinyanyikan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Permata Seni Koir mewakili penglibatan GCC, manakala penyanyi Shila Amzah bakal mendendangkan lagu bahasa mandarin ‘Zheng Fu’.
"Bagi negara-negara ASEAN, pengisian pada malam itu (Gala Dinner) akan diserikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu negara ASEAN secara ‘medley’ oleh Bob Yusof, Asmidar dan Yasmin Aziz," katanya.
Mohd Amran berkata persembahan pada majlis itu juga akan diiringi pemuzik dari Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO), anak-anak PERMATA Seni Koir dan Tari, Kumpulan Kesenian JKKN serta pertubuhan bukan kerajaan.
Beliau berkata pendekatan menyatukan unsur budaya dari pelbagai negara menunjukkan bagaimana seni dan budaya boleh menjadi jambatan diplomasi yang kuat, seiring dengan misi ASEAN untuk membentuk komuniti yang bersatu dan mampan.
“Dalam era cabaran geopolitik dan sosial, elemen budaya mampu menyatukan. ASEAN bukan sekadar kerjasama ekonomi atau politik semata-mata tetapi juga kerjasama jiwa, warisan dan identiti,” katanya.
JKKN turut terlibat dalam pelbagai program sebelum ini termasuk ASEAN Festival of Art di Melaka dan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN, yang kesemuanya menekankan elemen kebersamaan dan persefahaman budaya serantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ akan bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan pada 23 Mei diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula akan bermula pada 26 Mei.
Dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadual berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial