KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Dua perkara atau tuntutan utama berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diberikan tumpuan dalam rundingan lanjut kerajaan Sarawak bersama kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazalli berkata satu daripada keutamaan pada masa ini ialah mempercepat perbincangan mengenai formula Geran Khas seperti yang termaktub di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata Sarawak juga sedang meneliti isu penambahan jumlah kerusi Parlimen negeri itu di Dewan Rakyat, sejajar dengan semangat dan tujuan asal MA63.
“Isu ini telah dibangkitkan secara berterusan oleh kerajaan Sarawak melalui mesyuarat rasmi dan platform rundingan termasuk dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
“Kerajaan Sarawak terus komited untuk memastikan hak dan keistimewaan negeri ini dipertahankan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Sharifah Hasidah menjawab pertanyaan Lidam Assan (GPS-Katibas) yang ingin tahu mengenai status terkini rundingan MA63 bagi Sarawak.
Sementara itu, Sharifah Hasidah berkata kerajaan Sarawak telah menyelesaikan sebahagian perkara berkaitan Semakan Kewangan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata sebagai langkah sementara, kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meningkatkan jumlah Geran Khas kepada Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta bagi tempoh lima tahun.
“Kerajaan Sarawak menegaskan agar rundingan mengenai formula Geran Khas dipercepatkan demi menghormati semangat kerjasama serta hak perlembagaan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial