GEORGE TOWN, 21 Mei (Bernama) -- Industri pendaratan ikan tuna di Pulau Pinang menyaksikan trend peningkatan ketara sekali gus berpotensi besar untuk menjadi hab utama pendaratan dan pemprosesan tuna bagi pasaran domestik serta antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata Pulau Pinang mencatatkan jumlah pendaratan 431,00 kilogram (kg) tuna dengan anggaran nilai RM7.76 juta tahun lepas, meningkat daripada 177,000 kg dengan nilai RM3.19 juta pada 2023.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkasakan aspek fasiliti, infrastruktur, logistik dan perkhidmatan sokongan dengan lebih menyeluruh bagi melonjakkan kemajuan industri itu sebagai strategi jangka panjang.
“Kerajaan negeri mempertimbangkan beberapa tapak bagi mewujudkan pelabuhan pendaratan tuna baharu, bagaimanapun terdapat banyak kekangan dari aspek pemilikan tanah dan kesesuaian paras air bagi kapal tuna berlabuh,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata usaha itu dijangka memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan sosial negeri melalui peluang pekerjaan baharu serta kewujudan industri hiliran seperti pusat pemprosesan tuna berteknologi tinggi dengan kemampuan mengeluarkan produk makanan laut premium untuk pasaran global.
Beliau berkata keunikan operasi pendaratan tuna yang eksklusif di Pulau Mutiara, juga menjadikan ia berpotensi sebagai produk pelancongan baharu dan berupaya menarik kunjungan pelawat dari dalam serta luar negara.
Pulau Pinang merupakan pintu utama kemasukan tuna ke Malaysia sejak awal 1990 dan terdapat banyak vesel luar negara termasuk Taiwan memilih negeri itu untuk mendarat, memproses dan seterusnya mengeksport tuna semula ke negara itu atau Jepun.
Sementara itu, Fahmi berkata pencapaian sektor perikanan terus mencerminkan perkembangan membanggakan berdasarkan peningkatan jumlah pendaratan hasil laut bagi 2024 iaitu 39,231 tan metrik berbanding 38,226 tan metrik pada 2023.
“Kerajaan negeri turut menzahirkan komitmen padu terhadap pengembangan industri akuakultur di Pulau Pinang, melalui inisiatif bagi mewujudkan kawasan ternakan akuakultur baharu di Sungai Semilang, Juru.
“Saya percaya pembukaan kawasan ternakan baharu itu mampu meningkatkan hasil pengeluaran dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam bidang keusahawanan akuakultur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial