KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak akan diperluas ke 300 sekolah sebagai kesinambungan usaha memperkasakan advokasi perlindungan terhadap golongan itu.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan memaklumkan ia susulan kejayaan program berkenaan yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk 10 sekolah di Sabah tahun lepas.
“Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti mengenai isu pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak.
“Ia (program) memberi pendedahan tentang tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku penderaan, pengabaian atau eksploitasi serta membantu mengenal pasti agensi kerajaan yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
Program itu juga menurut KPWKM menjadi platform bagi kanak-kanak dan komuniti untuk memanfaatkan Talian Kasih 15999 atau melalui aplikasi Whatsapp 019-2615999 bagi melaporkan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang memerlukan bantuan segera.
Jelas KPWKM, isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak masih lagi membimbangkan dan di Sabah sahaja, sebanyak 1,181 kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak direkodkan tahun ini.
“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan kisah luka, trauma dan ketidakadilan yang dialami oleh anak-anak kecil yang sepatutnya dilindungi dan disayangi.
“Kementerian melalui JKM sentiasa mengharapkan penglibatan semua pihak sebagai mata dan telinga masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada KPWKM,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama KPWKM memaklumkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, Penampang Sabah telah diadakan pada Ahad lepas dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Pada majlis itu Che Murad Sayang menyerahkan plag Talian Kasih kepada pengetua SMK Limbanak dan cek cura bernilai RM170,760 kepada Pengerusi Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak Daerah Penampang Mardianah Ibo.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial