LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Panglima Tentera Udara (PTU) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi PTU pertama yang menerbangkan pesawat dalam pertunjukan udara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi sejak dianjurkan pada 1991.
Dalam sesi yang bermula pada 1.30 tengah hari tadi, beliau membuka tirai dengan menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM atau turut dikenali sebagai 'Toruk Makto'.
Kecekapan PTU mengendalikan pesawat dihiasi 'livery’ Jalur Gemilang itu dan melakukan formasi mendebarkan mencuri tumpuan ribuan penonton.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mohd Asghar Khan yang membawa isyarat panggil (call sign) ‘Gunjiz’ beraksi di udara bersama Komander Pangkalan Udara Gong Kedak Kol Mohd Norazan Othman yang bergelar 'Sting’.
“Dalam penerbangan selama 12 minit itu, pesawat mempersembahkan pelbagai aksi manuver luar biasa yang sebahagiannya tidak mampu dilakukan oleh pesawat pejuang lain, menggamit perhatian para tetamu tempatan dan antarabangsa yang hadir pada hari pembukaan LIMA’25,” menurut TUDM.
Kenyataan itu memaklumkan penglibatan langsung Mohd Asghar Khan ini bukan sahaja mencerminkan semangat patriotisme tetapi turut memperlihatkan komitmen kepimpinan tertinggi TUDM dalam menjulang profesionalisme, keberanian dan kecemerlangan organisasi.
Beliau yang memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat TUDM sejak 1985 juga mempunyai pengalaman menerbangkan pesawat pejuang A4 Skyhawk, F-5E dan MiG-29N.
“Pasukan lain yang turut terlibat pertunjukan udara sepanjang LIMA’25 adalah Russian Knight dari Tentera Udara Russia, Jupiter dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU), Pesawat GB 1 dari Akademi Penerbangan Layang-Layang, Extra 300L dari Aerotree Defence and Services.
“Sebuah lagi pesawat TUDM yang turut terlibat adalah pesawat F/A-18D Hornet,” maklum kenyataan itu
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial