Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Yayasan Peneraju Sasar 2,500 Lepasan SPM Ikuti Latihan Akauntan Bertauliah

18/05/2025 06:38 PM

TAWAU, 18 Mei (Bernama) -- Yayasan Peneraju, agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang berperanan sebagai ‘talent bank’ bagi bakat bumiputera, menyasarkan 2,500 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberikan latihan dan pendidikan untuk menjadi akauntan bertauliah, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Ibrahim Sani berkata pencarian bakat itu dilaksanakan menerusi Program Jom Explore ! Why Not YP ?, iaitu perkongsian komprehensif berkaitan pensijilan akauntan profesional termasuk permohonan kemasukan ke institusi dan pembiayaan.

"Sasaran kita 2,500 orang dan setakat ini 1,500 orang telah mendapat surat tawaran daripada Yayasan Peneraju. Tinggal kira-kira 500 hingga 1,000 lagi untuk penuhi sasaran dan untuk ini kita (Yayasan Peneraju) mahu memberi peluang kepada peserta dari Borneo, terutamanya Sabah.

"Kita ambil lepasan SPM berumur antara 17 dan 18 tahun, kemudian kita berikan tiga ke empat tahun latihan termasuk peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) atau Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), pada umur 21 tahun peluang pekerjaan sudah menunggu mereka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Yayasan Peneraju turut bekerjasama dengan tiga kolej profesional bagi melaksanakan latihan serta pendidikan berkenaan iaitu Sunway University di Petaling Jaya, serta INTEC Education College dan Tymba Education di Shah Alam.

Selain itu, Ibrahim berkata kebolehpasaran mereka yang mendapati pensijilan daripada ACCA termasuk ICAEW tinggi kerana keperluan serta permintaan di pasaran.

"Terdapat kekosongan dan kelopongan bakat untuk mengisi tempat di industri.  Kerjaya mereka bukan sahaja untuk mengisi ‘big five firm’ antaranya Deloitte, Ernst and Young termasuk KPMG tapi juga di tempat seperti Petronas, bank seperti Maybank dan CIMB.

"Yayasan Peneraju juga bekerjasama bukan sahaja dengan syarikat seperti Maybank dan CIMB tetapi juga dengan badan-badan perakaunan seperti ACCA, ICAEW, CPA Australia termasuk Institut Akauntan Malaysia," katanya.

Mengenai Program Jom Explore! Why Not YP? di Sabah, Ibrahim berharap program yang dilaksanakan di lima lokasi termasuk Tawau, dan Tuaran itu mampu mencapai matlamat mendapatkan lebih 250 lepasan SPM mengikuti latihan menjadi akauntan bertauliah.

Beliau turut berharap Program Jom Explore!Why Not YP? yang dirasmikan Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui di sini hari ini, mampu menarik lebih 50 bakat untuk diberi latihan sewajarnya.

Ibrahim berkata pihaknya turut menyediakan pembiayaan termasuk biasiswa kepada pelajar yang mengikuti latihan itu.

Beliau berkata Yayasan Peneraju komited untuk membentuk tenaga kerja bumiputera yang berkemahiran dan berdaya tahan, serta menyumbang kepada kemajuan masa depan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan