Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Selamatkan Nyawa Orang Awam, Dua Anggota TDM Terima Anugerah

18/05/2025 06:18 PM

PORT DICKSON, 18 Mei (Bernama) -- Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) menerima Anugerah Pisau Tentera Darat atas keberanian menyelamatkan nyawa orang awam dalam dua insiden berasingan, baru-baru ini.

Anugerah berkenaan disampaikan Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan kepada Staf Sarjan Muhammad Nizam Samsul Anuar, 37, dari Pusat Latihan Kor Perkhidmatan Diraja Kem Volturno Perak dan Anggota Tentera Cawangan Khas Sabah dari Unit 92 Sarjan Severinus Sapitin, 30, pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 202/2024 di sini hari ini.

Muhammad Nizam dan Severinus masing-masing turut dinaikkan pangkat kepada Pegawai Waran II dan Staf Sarjan.

Dalam kejadian pada 28 Mac lepas, Severinus bertindak pantas untuk terjun ke sungai menyelamatkan  seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang hanyut dibawa arus deras ketika mandi di Sungai Moroli, Ranau.

"Semasa kejadian saya nampak ada kanak-kanak hampir lemas, ketika itu cuaca hujan dan tanpa berfikir panjang saya terjun berenang ke arahnya, agak mencabar juga air sangat deras, sebaik sahaja dapat capai budak itu, saya pegang dan tariknya ke tebing sungai," katanya.

Dalam pada itu, tindakan pantas dan cekap Muhammad Nizam memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan jalan raya sehingga berjaya menghentikan pendarahan pada bahagian muka mangsa yang cedera parah dalam kejadian di Simpang Tigas Lahar Yooi, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, 1 April lepas.

“Saya berada berhampiran lokasi kejadian segera membantu mangsa, iaitu penunggang motosikal yang bertembung dengan kereta sebelum ambulans sampai sekali gus berjaya menyelamatkan nyawa individu berkenaan. 

"Bagi saya usaha membantu mangsa ketika itu perkara utama, walaupun kita di luar tugas namun usaha membantu tidak mengira sesiapa pun," katanya yang telah berkhidmat dalam TDM selama 19 tahun.

Anugerah Pisau Tentera Darat antara pengiktirafan tertinggi diberikan kepada anggota yang menunjukkan semangat keberanian, profesionalisme dan keprihatinan terhadap masyarakat selaras dengan prinsip “Tentera Bersama Rakyat.”

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan