Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RISDA Disarankan Wujud Depoh Getah Berteknologi Tinggi Di Sabah

18/05/2025 04:09 PM

TENOM, 18 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mewujudkan Depoh Getah Berteknologi Tinggi di Sabah.

Ahmad Zahid yang Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah berkata pewujudan depoh berkenaan yang dicadang untuk dibina di Tenom, adalah penting bagi memajukan industri getah di Sabah serta membantu pekebun getah di negeri itu.

Beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam industri getah Malaysia dengan memiliki keluasan tanaman terbesar di negara ini iaitu 202,536 hektar, atau 25.69 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman getah negara.

“Dengan wujudnya depoh berkenaan, RISDA juga harus membangunkan produk hiliran berasaskan getah secara komersial, termasuk kajian bahan api biologi daripada getah skrap di mana satu kilogram getah skrap mampu menghasilkan lima liter biodiesel yang dinamakan RISDA Biofuel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Pekebun Kecil Makmur RISDA peringkat negeri Sabah di Dewan SJK (C) Chung Hwa di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan Anggota Parlimen Kinabangan Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai Penasihat Kehormat RISDA Peringkat Kebangsaan. Pelantikan ini adalah usaha memastikan suara pekebun kecil Sabah terus didengari dan diberi perhatian.

Ahmad Zahid berkata walaupun harga lantai getah rendah, kerajaan terus berusaha menstabilkan industri berkenaan.

“Kini, harga lantai cup lump ditetapkan pada RM5 sekilogram dan harga pasaran semasa sudah mencecah RM5.01 sekilogram seperti berlaku di Tangkak, Johor. Kita perlu ubah industri getah ini daripada sunset industry kepada sunrise industry dengan menyuntik elemen teknologi tinggi dan inovasi,” tambahnya.

Beliau berkata Malaysia pernah menjadi antara pengeluar getah asli terbesar dunia dalam era 1930-an hingga 1990-an, namun kini negara berada di tangga keenam dunia akibat isu harga dan kekurangan tenaga kerja untuk torehan getah.

“Maka RISDA perlu mencari solusi. Teknologi perlu dicipta, anak muda perlu dilatih melalui pendekatan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan dimobilisasi untuk kembali ke sektor ini dengan kemahiran baharu, dan bukan hanya menjadi penoreh, tetapi pencipta nilai,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata RISDA boleh meneliti usaha untuk menebang dan menggantikan pokok-pokok getah tua, sebelum kayu itu dimanfaatkan dalam industri pembuatan perabot.

“Kita berpotensi menanam semula 40,000 hektar setahun yang mana boleh menjana sehingga RM9 bilion nilai balak getah jika dimanfaatkan sepenuhnya. Jangan hanya biarkan industri perabot tertumpu di Muar, Johor. Saya mencadangkan agar Tenom dijadikan pusat industri perabot RISDA di Sabah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan