Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Menghubungkan Timur Dan Barat: Pendekatan Pragmatik PM Anwar Di Rusia

18/05/2025 10:22 AM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Pejabat Agensi Berita Rusia (TASS), yang terletak di persimpangan Tverskoy Boulevard dan Bolshaya Nikitskaya Street di pusat bandar Moscow, merupakan lokasi yang sangat strategik dan mudah dikenali.

Saya berpeluang menghadiri majlis makan tengah hari bersama Ketua Pengarah TASS Andrey Kondrashov, di sebuah bilik luas dengan pemandangan indah ke daerah Presnensky.

Kondrashov, bekas pembaca berita televisyen, dilaporkan telah dipilih sendiri oleh Presiden Rusia Vladimir Putin, untuk jawatan berpengaruh itu.

Media di Moscow mendakwa beliau mempunyai akses langsung kepada tokoh paling berkuasa di negara itu, namun beliau merendah diri dengan mengatakan bahawa beliau "hanya pernah menemu bual Putin beberapa kali sahaja."

Kami turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pertama TASS Mikhail Gusman, yang pernah mewawancara ramai pemimpin dunia, termasuk beberapa Presiden Amerika Syarikat di Oval Office.

Saya bertanya kepada kedua-dua mereka tentang tanggapan terhadap Putin serta harapan mereka mengenai perkembangan hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehari sebelum pertemuan di Kremlin.

Kondrashov berkata meskipun Putin dikenali sebagai pemimpin yang berwibawa dan serius, beliau sebenarnya mempunyai deria humor yang tinggi serta gemar membaca buku sejarah dan kesusasteraan — “sama seperti Perdana Menteri Anwar.”

Sememangnya, pertemuan antara Anwar dan Putin berlangsung lancar, dimulakan dengan jenaka ringan yang menceriakan suasana.

Ketika lawatan peribadi ke Dewan Agung St Andrew, Putin menunjukkan kepada Anwar tiga takhta.

Beliau menerangkan bahawa satu takhta adalah untuk Tsar, satu lagi untuk Tsarina, dan kemudian bertanya kepada Anwar siapa pula yang layak untuk takhta ketiga. Putin kemudian tertawa sambil mengimbas semula jawapan Anwar yang berseloroh bahawa takhta ketiga itu untuk isteri keduanya.

Kedua-duanya ketawa besar apabila Putin menjelaskan bahawa takhta itu sebenarnya untuk ibu Tsar.

Anwar pantas menambah: “Saya kekal dengan seorang isteri. Saya tak galakkan orang berkahwin ramai kerana untuk mengawal dan mendidik seorang pun sudah cukup mencabar. Tapi tolong jangan beritahu isteri saya!”

Perdana Menteri kemudian berkongsi dengan saya kisah perbualannya bersama Putin dalam perjalanan menuju ke sidang media.

Putin berbisik, “Boleh saya ceritakan kisah ini?”

Anwar bertanya semula, “Kisah apa? Tentang isteri tu?”

“Inilah Presiden Putin, yang selama ini saya anggap seorang yang serius dan tegas. Jadi saya jawab: ‘Sudah tentu, Tuan Presiden.’ Cuma saya tidak pasti bagaimana beliau akan menyampaikannya.”

Meskipun jawapan Anwar itu menerima pelbagai reaksi, ia jelas hanya jenaka spontan. Tidak wajar diperbesar-besarkan

Lawatan empat hari Anwar ini merupakan kunjungan rasmi pertama oleh Perdana Menteri Malaysia ke Rusia dalam tempoh 20 tahun, dan sangat signifikan dari segi hubungan dua hala serta nilai sejarah.

Ini merupakan lawatan kedua Anwar ke Rusia selepas menghadiri Forum Ekonomi Timur di Vladivostok pada 2024, juga atas jemputan Putin.

Lawatan terbaharu ini mengukuhkan asas yang telah dibina. Seperti dinyatakan oleh Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah dalam artikel yang telah disiarkan di New Straits Times pada 2024, Anwar mempunyai matlamat jelas – memperkukuh kepentingan Malaysia melalui hubungan lebih erat dengan Rusia.

Dasar itu masih diteruskan sehingga kini.

“Strategi besar beliau ialah meluaskan ruang geoekonomi Malaysia sambil mempelbagaikan hubungan globalnya,” kata Dr Mohd Faiz.

Malaysia perlu memperluas pasaran dan dalam masa sama memahami sensitiviti hubungan dengan Rusia dalam landskap geopolitik semasa.

Ringkasnya, Perdana Menteri mengakui bahawa lawatan ke Rusia bukan perkara mudah, namun tetap menegaskan bahawa ia adalah “keputusan yang tepat.”

Malaysia juga mengiktiraf kepentingan blok ekonomi BRICS yang semakin berkembang, yang kini merangkumi Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

Negara rakan BRICS termasuk Malaysia, Thailand, Cuba, Bolivia, Belarus, Uzbekistan, Kazakhstan, Uganda dan Nigeria.

Dr Mohd Faiz menjelaskan bahawa, “meskipun BRICS masih dalam fasa awal berbanding organisasi antarabangsa lain yang lebih mapan, potensinya tidak harus dipandang ringan.”

“Dengan menyertai lebih awal, Malaysia boleh memastikan peranan penting dalam rangkaian yang sedang berkembang ini.”

“Di luar kerangka BRICS, Anwar turut berusaha meningkatkan hubungan ekonomi Malaysia-Rusia. Walaupun pentadbiran sebelum ini telah mencuba, hubungan dagangan kedua-dua negara masih belum setanding dengan beberapa negara ASEAN lain.

“Pada 2022-2023, perdagangan Malaysia-Rusia meningkat 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion. Namun jumlah ini masih lebih rendah berbanding Vietnam, yang menikmati kelebihan melalui perjanjian perdagangan bebas dengan Rusia menerusi Kesatuan Ekonomi Eurasia,” tulis Dr Mohd Faiz.

Menurut beliau, perubahan hala tuju Rusia ke arah Asia berikutan sekatan Barat dan kemerosotan perdagangan Eropah membuka peluang strategik untuk Malaysia.

“Perubahan fokus Rusia ke Asia yang dipercepatkan oleh sekatan Barat dan kejatuhan perdagangan dengan Eropah memberi ruang masa yang tepat kepada Malaysia,” katanya.

Dr Mohd Faiz berkata pada 2023, perdagangan Rusia dengan negara-negara Asia meningkat secara mendadak, dengan eksport dan importnya masing-masing melonjak sebanyak 72 peratus dan 68 peratus.

Peralihan Rusia ke arah Timur ini membuka peluang kepada Malaysia untuk mengambil manfaat daripada aliran dagangan baharu, katanya.

Dalam sektor pelancongan pula, beliau berkata Malaysia masih belum berjaya menarik pasaran Rusia secara signifikan, yang ketika ini lebih cenderung ke arah destinasi seperti Thailand, Vietnam dan juga Indonesia.

Menurut laporan Interfax, hanya sekitar 60,000 pelancong Rusia melawat Malaysia dalam separuh pertama 2024, namun jumlah itu dijangka akan meningkat.

Sebaliknya, dalam tempoh empat bulan pertama 2025, Thailand menerima 877,516 pelancong Rusia, menjadikan mereka kumpulan pelancong asing ketiga terbesar ke negara itu.

Halangan berkaitan penerbangan serta sekatan antarabangsa telah menyukarkan urusan perjalanan, namun isu ini telah dibincangkan antara Anwar dan Putin pada peringkat tertinggi.

“Malaysia bakal meraih manfaat daripada potensi pelancongan yang tinggi dari Rusia melalui syarikat penerbangan Aeroflot, yang dijangka akan menyambung semula penerbangan ke Malaysia dalam masa terdekat,” kata Anwar ketika bercakap kepada media Malaysia.

Sudah tentu, penyelesaian boleh dicapai agar AirAsia dan Aeroflot dapat mengendalikan penerbangan antara kedua-dua negara.

Menarik pelancong dari Rusia mampu merancakkan sektor pelancongan Malaysia dan mempelbagaikan sumber kedatangan pelancong.

Tiga bidang strategik dikenal pasti untuk kerjasama masa depan antara Malaysia dan Rusia, iaitu kewangan Islam, pertanian dan pendidikan.

Menurut Dr Mohd Faiz, Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam berada dalam kedudukan terbaik untuk membantu Rusia membangunkan sistem kewangan patuh Syariah, terutamanya memandangkan jumlah populasi Muslim yang besar di negara itu.

Anwar turut mengambil bahagian dalam Forum Ekonomi Antarabangsa "Russia – Islamic World: KazanForum", di mana pasaran halal menjadi antara topik utama di Republik Tatarstan yang kaya dengan hasil minyak, di bawah Persekutuan Rusia.

Dalam hal ini, Anwar berkata bahawa dalam pertemuannya dengan Putin, beliau secara terbuka menyatakan minat untuk memperluas rangkaian halal, serta kerjasama dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Sememangnya, industri halal menawarkan banyak peluang untuk inisiatif bersama dan kerjasama yang lebih mendalam. Dalam bidang pertanian, peranan Rusia sebagai pengeluar bijirin utama sejajar dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh dasar keselamatan makanan."

Dalam bidang pendidikan, kepakaran Rusia dalam teknologi membuka pelbagai peluang kerjasama, khususnya melalui penubuhan Pusat Teknologi Tinggi Rusia-Malaysia yang baharu.

Anwar berkata bahawa sepanjang lawatan tersebut, beliau dan delegasinya telah mengadakan pertemuan dengan 24 syarikat di Rusia yang menunjukkan minat untuk mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia, selain menganjurkan dua pertemuan perniagaan bersama syarikat-syarikat yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aspek perdagangan di negara ini.

Bagaimanapun, lawatan ini turut berlangsung ketika Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) merumuskan bahawa Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014. Anwar telah membangkitkan isu berkenaan secara terus kepada Putin di peringkat tertinggi.

“Tiada negara seharusnya digunakan untuk menyokong agenda pihak lain. Kita perlu bersabar untuk menanganinya.

“Dalam pertemuan saya dengan Presiden Putin, saya turut membangkitkan satu perkara yang sangat sensitif, iaitu penembakan pesawat MH17, pesawat Malaysia yang mengorbankan 43 nyawa rakyat Malaysia.

“Saya bertanya bagaimana saya harus memberi respons kepada laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dan perlu saya tegaskan, Presiden Putin dengan jelas berkata bahawa kita perlu merungkai perkara ini hingga ke akar umbi. Sebarang usaha antarabangsa ke arah penyelesaian mestilah dijalankan secara profesional dan saintifik. Sudah tentu, saya akan menerima pendekatan itu. Itu adalah prasyarat.”

Semasa berucap di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), sebuah institusi akademik ternama di Moscow, Anwar menegaskan bahawa sejarah tidak digerakkan oleh kesempurnaan, tetapi oleh ketabahan dan daya tahan.

"Kepimpinan adalah usaha yang berlandaskan keyakinan yang sabar — untuk terus mara walaupun haluan masih kabur, bertindak dengan keberanian biarpun arah belum pasti, dan berpegang teguh pada harapan tatkala ia paling rapuh. Inilah cabaran sebenar yang kita hadapi."

Hakikatnya, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Malaysia ialah sebuah negara kecil, dan kita perlu sedar bahawa realiti politik dan ekonomi sentiasa menjadi asas kepada strategi negara.

Kita terus mengekalkan dan menegaskan pendirian berkecuali sambil giat memperluas pasaran dalam landskap ekonomi global yang kian pesat berubah.

-- BERNAMA

 

Penulis, Datuk Seri Wong Chun Wai adalah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan