Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jawatankuasa Tertinggi Bincang Aspek Keselamatan Pergerakan Pasukan PDRM - KPN

16/05/2025 06:08 PM

TELUK INTAN, 16 Mei (Bernama) -- Satu jawatankuasa tertinggi akan dibentuk bagi membincangkan langkah penambahbaikan aspek keselamatan konvoi atau pergerakan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata sudah tiba masanya perkara berkenaan dibincangkan bagi melindungi kebajikan warga PDRM serta keluarga mereka.

“Pihak saya dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) akan berbincang dengan jawatankuasa tertinggi...satu SOP (prosedur operasi standard) akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dan masih kritikal di Hospital Teluk Intan (HTI) akibat kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di sini pada Selasa lepas.

Turut hadir Komander FRU SAC Rosli Md Yusof. 

Terdahulu, terdapat gesaan dan cadangan daripada pelbagai pihak supaya PDRM meneliti semula aspek keselamatan aset membawa anggota untuk penugasan susulan kemalangan yang meragut sembilan nyawa anggota FRU.

Razarudin berkata penambahbaikan itu juga akan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan kenderaan yang membawa anggota termasuk anak-anak ke sekolah.

Beliau berkata PDRM juga sedang meneliti penggunaan bas dan penyediaan kamera papan pemuka dalam kenderaan bagi pergerakan anggota.

Sementara itu, Razarudin berkata pihaknya akan memastikan kebajikan dan bantuan kepada waris anggota terlibat kemalangan terbela.

"Kita akan pastikan dari A sampai Z keperluan dan kebajikan, kita akan cuba bantu jika terdapat permintaan lain daripada waris mereka," katanya. 

Mengenai perkembangan anggota yang dirawat, beliau memaklumkan empat masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala dua lagi di wad biasa HTI dan seorang di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan