SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bakal mendapat gabungan sentuhan pakar seni bina dari dalam dan luar negara menerusi kerjasama dengan Hijjas Architects & Planners serta Populous dalam memastikan fasiliti sukan itu setanding dengan fasiliti terbaik dunia.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembangunan KSSA sebagai hab pelbagai guna yang mampan dengan mengintegrasikan elemen sukan, runcit dan hiburan secara menyeluruh itu, telah melalui proses perancangan yang teliti.
“Hijjas ialah tenaga kreatif di sebalik mercu tanda ikonik Malaysia seperti Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Menara CelcomDigi, Menara Telekom, dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, yang akan membawa kepakaran tempatan yang unggul dan nilai seni bina tersendiri ke dalam projek ini.
“Sementara itu, Populous ialah firma yang memainkan peranan penting dalam menjayakan stadium bertaraf dunia seperti Wembley, Stadium Olimpik London, Stadium Tottenham Hotspur, Accor Stadium - Sydney Olympic Park dan Etihad Arena,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan KSSA di sini hari ini.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan hadir pada majlis itu diiringi Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Saipolyazan M Yusop.
Amirudin turut meluahkan keyakinan menerusi usaha inklusif dalam menggabungkan kepakaran yang berbeza latar belakang itu dapat memastikan visi merubah wajah Stadium Shah Alam sebagai mercu tanda dan pemacu perubahan dapat direalisasikan sekali gus menjadi antara pusat tarikan untuk acara tempatan dan antarabangsa.
“Saya percaya ramai antara kita amat menantikan pengalaman yang bakal ditawarkan oleh KSSA. Kami berharap pembangunan ini akan memenuhi aspirasi negeri dalam menuju ke arah kemampanan dan kecemerlangan komuniti,” katanya.
Terdahulu, MRCB Land Sdn Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Lembaran Prospek Sdn Bhd, menandatangani surat penerimaan untuk membina dan menyiapkan KSSA yang bernilai RM2.94 bilion.
Projek diperoleh daripada kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) itu merangkumi kerja-kerja perobohan yang kini hampir selesai dan selepas itu melibatkan tempoh pembinaan selama 48 bulan, dengan sasaran siap pada 2029.
MRCB Land merupakan anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).
Penyerahan surat penerimaan itu disaksikan oleh Tengku Amir Shah dan Amirudin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial