Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tunku Mahkota Ismail Titah ADUN Johor Fokus Berkhidmat Untuk Rakyat

16/05/2025 02:03 PM

ISKANDAR PUTERI, 16 Mei (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya fokus berkhidmat untuk rakyat.

Baginda bertitah meskipun pada masa ini bukan musim Pilihan Raya Negeri (PRN), ADUN yang dipilih rakyat perlu bertanggungjawab membantu membangunkan Johor serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Setiap daripada anda telah dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi sila fokus kepada tanggungjawab. 

“Bangsa Johor memerlukan ADUN yang bertanggungjawab dan berkesan untuk berkhidmat serta membantu negeri ini terus membangun serta meningkatkan taraf hidup," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat Persidangan DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini. 

Tunku Ismail bertitah mengharapkan Persidangan DUN Johor terus menjadi contoh sebagai dewan negeri yang harmoni, bukannya medan untuk bertelagah dan melepaskan emosi demi kepentingan politik peribadi.

"Dewan ini adalah wadah untuk membincangkan dasar, menggubal undang-undang dan yang paling utama memperjuangkan nasib serta kebajikan rakyat Johor.

"Saya harap agar keharmonian yang menjadi tradisi DUN Johor akan dicontohi dan terus dipelihara. Jangan biarkan percakaran menjadi budaya dan jangan jadikan dewan ini bahan ketawa rakyat," titah baginda.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menitahkan kerajaan Johor untuk berbincang dengan Universiti Harvard bagi meneroka pendekatan baharu dalam menyediakan kursus profesional di negeri itu.

Baginda percaya langkah itu adalah satu pelaburan strategik untuk masa depan negeri itu dalam menyediakan Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) yang cemerlang.

Tunku Ismail bertitah menekankan kepentingan Johor ditadbir JCS yang memiliki standard, kualiti dan kemahiran profesional yang tinggi seiring dengan perkembangan pesat negeri.

"Mereka sebagai tulang belakang kepada tadbir urus kerajaan dalam menggubal dasar juga harus membantu pelbagai pelaksanaan inisiatif rakyat serta menjadi jambatan antara kerajaan negeri dan Bangsa Johor,” titah baginda.

Tunku Ismail turut bertitah mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan menyertai inisiatif negeri itu dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi seperti inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ). 

"Kita tidak boleh berpuas hati dengan sistem pendidikan yang statik dan ketinggalan zaman. Saya berharap Kerajaan Persekutuan juga bersama-sama menyertai inisiatif Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi," titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan