BUTTERWORTH, 15 Mei (Bernama) -- Sebanyak 38 kontena yang membawa campuran sisa plastik tercemar seumpama sampah dibawa masuk melalui Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), diarah dihantar pulang ke negara asal.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang Norazizi Adinan berkata tindakan penguatkuasaan diambil menerusi Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap pengimport dan ejen terlibat bagi mengarahkan kesemua kontena berkenaan dihantar semula ke negara asal.
"JAS Pulau Pinang bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), SWCorp, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Penang Port Sdn Bhd telah menjalankan pemeriksaan bersepadu ke atas 39 kontena yang diikrar mengandungi 'plastic flake'.
"Pemeriksaan mendapati 38 daripadanya membawa campuran sisa plastik tercemar, manakala satu kontena mengandungi 'plastic flake' dalam keadaan baik dan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan bersepadu itu dijalankan bagi memastikan kontena yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta obligasi undang-undang antarabangsa.
Menurut Norazizi, penahanan 38 kontena tersebut merupakan rampasan terbesar bagi tahun ini oleh JAS Pulau Pinang, menjadikan keseluruhan 65 daripada 70 kontena yang diperiksa pada tahun ini telah diarah dihantar pulang ke negara asal.
“Berdasarkan rekod, sebanyak tiga kontena telah diperiksa sepanjang 2023 dan 2024, dan kesemuanya turut diarahkan dihantar pulang atas pelbagai kesalahan termasuk membawa masuk sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta plastik tercemar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial