Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ikon Pendidikan, Hak Wanita Rasammah Bhupalan Meninggal Dunia Pada Usia 98 Tahun

13/05/2025 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Pelopor bidang pendidikan dan pejuang hak wanita Datuk Rasammah Bhupalan meninggal dunia hari ini pada usia 98 tahun akibat sakit tua.

Pengasas dan Presiden Persatuan Warisan Malaysia-Akhand Bharat Prabhakaran Nair berkata Rasammah meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara di sini pada 9 pagi.

“Mendiang memang sudah tidak boleh berjalan dan bergantung kepada kerusi roda,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Prabhakaran berkata upacara penghormatan terakhir akan diadakan di kediaman Rasammah esok manakala upacara pengebumian berlangsung di Gereja Wesley Methodist pada Khamis diikuti proses pembakaran mayat di Nirvana Crematorium, Seksyen 21, Shah Alam.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan Rasammah sebagai seorang pemimpin luar biasa yang telah banyak menyumbang kepada kemerdekaan negara, bidang pendidikan dan pemerkasaan wanita di Malaysia.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Pembangunan Wanita India dalam Kerjaya, Usahawan dan Profesional (MiWEPs) Dr Maria Rufina menyifatkan Rasammah sebagai pelopor, pendidik dan aktivis sosial hebat yang memberi komitmen sepanjang hayat terhadap keadilan, kesaksamaan dan pemerkasaan wanita sehingga meninggalkan impak besar dan berkekalan kepada negara.

“Kami amat berbangga kerana telah menampilkan Datuk Rasammah dalam "Malaysian Indian Women Icon Coffee Table Book", sebuah penghormatan yang kini menjadi bukti abadi terhadap legasi beliau.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, sahabat handai serta semua yang pernah menerima sentuhan beliau sepanjang kehidupannya. Semoga rohnya tenang abadi dan legasinya terus menyemarakkan perubahan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Rasammah, seorang veteran Tentera Kebangsaan India (INA) yang pernah menyertai Rejimen Jhansi, sayap wanita INA dan berjuang untuk kemerdekaan India.

“Suruhanjaya Tinggi memberi penghormatan kepada Rasammah atas khidmat baktinya sebagai veteran INA. Mendiang juga merupakan antara wanita terawal yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan Malaysia (ketika itu Tanah Melayu).

“Mendiang turut berjuang untuk hak wanita di Malaysia dan berjaya melatih serta memperkasakan golongan wanita muda yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi,” menurut kenyataan itu di Facebook.

Rasammah dilahirkan pada 1 Mei 1927 dalam sebuah keluarga pendidik, memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Lelaki Methodist Kuala Lumpur (1959-1964), sebelum berkhidmat sebagai Pengetua Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur selama 14 tahun sehingga bersara pada 1982. Selepas itu, beliau mengetuai Methodist College di Brickfields sebagai Pengetua.

Pada usia 16 tahun, beliau menyertai sayap wanita INA untuk menentang pemerintahan British dan ditempatkan di Burma (kini Myanmar), sebelum kembali ke Tanah Melayu pada 1945 akibat dijangkiti malaria.

Rasammah menubuhkan Kesatuan Kebangsaan Guru Wanita dan berjaya memperjuangkan bayaran gaji sama rata untuk guru wanita pada 1961.

Sepanjang hayatnya, mendiang memperjuangkan pelbagai isu sosial penting termasuk pendidikan, hak wanita, kempen antidadah serta keadilan sosial melalui penglibatan dalam organisasi seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan