Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Nahas Anggota FRU: Wan Junaidi Dukacita, Ucap Takziah

13/05/2025 09:51 PM

KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan rasa dukacita dengan tragedi melibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Perak hari ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mereka.

Menurut beliau insiden itu merupakan kehilangan besar kepada pasukan keselamatan dan negara serta anggota yang maut sedang dalam penugasan rasmi.

“Pemergian mereka bukan sekadar tragedi, tetapi suatu peringatan akan besarnya pengorbanan yang dilakukan secara senyap demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Jasa mereka wajib dikenang dengan penuh penghormatan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Wan Junaidi bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut mendoakan agar sembilan anggota lain yang mengalami kecederaan dalam kejadian sama segera pulih. 

Beliau turut menyeru agar kebajikan keluarga mangsa sentiasa diberikan perhatian khususnya dalam aspek kediaman balu, pendidikan anak-anak dan kelangsungan hidup mereka selepas pemergian insan tersayang.

“Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan ini berakhir di jalanan tanpa jaminan kepada mereka yang ditinggalkan. Kebajikan dan masa depan keluarga wira-wira ini harus sentiasa terbela,” katanya. 

Beliau menambah negara terhutang budi kepada setiap individu yang berkhidmat dengan penuh komitmen dan jasa mereka harus terus dihargai dan dimartabatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan