Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

UniMAP Raih Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional Tertinggi

13/05/2025 06:54 PM

KANGAR, 13 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional (MNC) Tertinggi menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurut UniMAP dalam kenyataan hari ini, anugerah itu sekali gus mengukuhkan reputasi universiti berkenaan sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing.

Kenyataan itu menyebut pengiktirafan tersebut merupakan manifestasi kepercayaan kukuh syarikat multinasional terhadap kompetensi dan potensi graduan UniMAP khususnya dalam memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi di peringkat global.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dalam kenyataan sama menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha bersepadu dan komitmen tinggi seluruh warga universiti dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang selari dengan kehendak industri.

“Anugerah ini adalah bukti bahawa pendekatan strategik UniMAP dalam merapatkan jurang antara universiti dan industri membuahkan hasil. Kami percaya pada pembangunan holistik graduan, bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga kemahiran insaniah, kepimpinan dan nilai profesionalisme.

“Kepercayaan syarikat multinasional kepada graduan UniMAP juga menunjukkan bahawa kurikulum kami sentiasa relevan dan dinamik dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan seterusnya,” katanya.

Zaliman berkata UniMAP akan terus memperkemas dan memperkasa kurikulum dengan elemen terkini seperti teknologi digital, kecerdasan buatan dan kemampanan selain hubungan strategik dengan industri juga akan diperluas untuk membuka lebih banyak peluang latihan industri dan penyelidikan kolaboratif.

Anugerah berprestij itu disampaikan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT Fazidah Mustafa dalam Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan Tahun 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Kinabalu baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan