BANGI, 11 Mei (Bernama) -- Karnival Jom Masuk U (JMU) Zon Tengah 2 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatatkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman berkata jerayawara yang melibatkan lebih 70 pempamer itu bertujuan memperluas akses pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat dengan menyediakan maklumat yang tepat dan menyeluruh mengenai laluan pendidikan yang sesuai dengan minat dan kelayakan pelajar.
“Kami mahu ibu bapa dan pelajar membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan minat dan kelayakan masing-masing. Ini termasuk memberi pendedahan awal kepada pelajar tingkatan satu hingga lima mengenai peluang melanjutkan pelajaran,” katanya selepas merasmikan JMU Zon Tengah 2 di sini hari ini.
Beliau berkata karnival berkenaan menampilkan empat segmen utama iaitu pameran akademik, simulasi interaktif, pengenalan keusahawanan serta konsultasi pendidikan dan kewangan.
Program hari ini turut menyaksikan pelancaran Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning–APEL) UKM.
Azlinda berkata pelaksanaan program APEL penting bagi memberi peluang kepada individu berpengalaman kerja untuk menyambung pengajian tanpa bergantung sepenuhnya kepada kelayakan akademik formal.
“Ramai dalam kalangan rakyat kita mempunyai pengalaman kerja bertahun-tahun tetapi tidak berpeluang melanjutkan pengajian.
“Melalui APEL, mereka kini boleh menggunakan pengalaman tersebut untuk mendapatkan diploma, ijazah atau bahkan ke peringkat sarjana,” katanya.
Dalam pada itu, Azlinda turut mengulas mengenai trend sebahagian belia yang memilih untuk tidak menyambung pelajaran dan cenderung kepada kerjaya seperti pencipta kandungan digital.
Beliau menyeru anak muda yang memilih untuk mengejar kerjaya sedemikian agar tidak mengetepikan pendidikan, sebaliknya mengambil peluang mengikuti kursus pendek atau program mikroakreditasi yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT), selaras dengan kehendak semasa industri.
“Jika mereka ingin menjadi content creator, itu tidak mengapa. Namun, jadilah content creator yang berilmu dan mempunyai maklumat yang tepat. Kita mempunyai program media kreatif di IPT yang boleh membantu mereka menjadi pempengaruh yang berkualiti.
“Melalui karnival sebegini, kita dapat mencetuskan semula minat untuk belajar. Tidak semestinya meneruskan pengajian dengan ijazah penuh, tetapi boleh juga mengikuti kursus jangka pendek yang sesuai dengan keperluan masa kini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial