Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hari Ibu: TPM, Menteri Kabinet Seru Hargai Dan Raikan Ibu Selagi Ada

11/05/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet menzahirkan penghargaan atas jasa serta pengorbanan para ibu sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan di seluruh dunia pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh wanita bergelar ibu yang telah mengabdikan hidup mereka demi membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.

“Saya tidak pernah melupakan insan paling berjasa dalam hidup saya, iaitu ibu yang menjadi sumber kekuatan sejak kecil, dan isteri tercinta yang merupakan ibu kepada anak-anak kami serta nenek kepada cucu kami. Doa merekalah yang menguatkan semangat saya untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara.

“Hargailah ibu kita setiap masa. Raikan mereka selagi masih ada di sisi, dan kirimkan doa penuh kasih buat yang telah pergi mendahului kita. Terima kasih kepada semua ibu di Malaysia. Anda adalah tunjang kekuatan keluarga, bangsa dan negara,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut berkongsi penghargaan menerusi Facebook dengan menyatakan bahawa peranan ibu semakin mencabar dalam mendidik anak-anak, terutama ketika berdepan kekangan ekonomi dan kepesatan teknologi masa kini.

“Golongan ibu mungkin berhadapan dengan keterbatasan untuk mengawal pergerakan anak-anak pada setiap waktu dan ketika.

“Namun, biar apapun cabaran, setiap ibu sentiasa melakukan yang terbaik untuk anak-anak. Tugas dan peranan sebagai ibu adalah tanggungjawab yang cukup mulia. Para ibu harus berupaya menjadi qudwah (contoh) yang baik kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan sebagai sistem sokongan kepada para ibu, termasuk insentif khas i-Suri, Program Pembangunan Ekonomi Wanita (PEKERTI), penyediaan taska di tempat kerja, serta Dasar Wanita Negara.

“Sempena Hari Ibu, marilah kita kenang dan hargai jasa ibu yang telah banyak berkorban demi masa depan kita. Terima kasih ibu. Selamat Hari Ibu,” katanya.

 Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang telah menjadi sumber kekuatan, kasih sayang dan pengorbanan yang tanpa henti.

“Tanpamu ibu, siapalah kami,” tulisnya di Facebook.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pula menzahirkan penghargaan kepada semua wanita khususnya para ibu yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga, malah menjadi aset penting dalam pembangunan negara.

“Dalam Kerajaan MADANI, sumbangan wanita diiktiraf sebagai pemimpin, pendidik, pembentuk nilai dan ejen perubahan masyarakat. Tanpa wanita dan ibu, tidak akan terbentuk masyarakat berdaya tahan dan negara sejahtera,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar semua ibu terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan keberkatan.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita bergelar ibu dan merakamkan penghargaan atas segala pengorbanan serta doa, khususnya buat mendiang ibu, ibu mertua dan isterinya yang juga ibu kepada anak-anak mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, turut menyampaikan ucapan kepada ibunya dan isteri tercinta, serta mengajak rakyat menyayangi ibu masing-masing.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengucapkan Selamat Hari Ibu dengan tema ‘Sentuhan Kasih Ibu’, dan merakamkan penghargaan kepada semua yang memainkan peranan sebagai ibu, termasuk guru, penjaga, ibu tunggal, nenek dan wanita yang menjadi tonggak kasih masyarakat.

“Sentuhan ibu ialah kasih yang mengalir dari nurani suci iaitu membesarkan tanpa syarat, mencintai tanpa sempadan. Semoga setiap ibu terus dilimpahi kesihatan, kebahagiaan dan keberkatan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, turut menzahirkan terima kasih kepada semua ibu atas peranan mereka sebagai tulang belakang keluarga, pencorak generasi dan sumber inspirasi yang tiada ternilai.

“Selamat Hari Ibu kepada semua wanita hebat yang membawa erti kasih dan pengorbanan,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, menyifatkan ibu sebagai anugerah terindah yang tiada galang gantinya.

“Pada hari yang penuh makna ini, marilah kita menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ibu yang telah berkorban jiwa dan raga demi membesarkan anak-anak. Terima kasih ibu. Engkaulah ratu hatiku,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan