LABUAN, 10 Mei (Bernama) -- Malaysia secara rasmi telah diiktiraf sebagai negara pertama di luar benua Eropah yang menyertai Davos Baukultur Alliance, satu inisiatif global di bawah Forum Ekonomi Dunia, yang memberi penekanan terhadap nilai-nilai budaya dalam pembangunan bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pencapaian membanggakan itu dalam ucapan alu-aluannya pada Mesyuarat Tahunan Anggota Davos Baukultur Alliance 2025 yang berlangsung di Ateneo Veneto, Venice hari ini.
"Saya menegaskan bahawa pembangunan bukan hanya berkisar tentang aspek fizikal tetapi juga mengenai jiwa dan maruah masyarakat.
“Sebuah bandar harus dibina dengan semangat 'bersama rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat'," katanya dalam ucapan beliau yang dikongsikan kepada Bernama malam ini.
Beliau turut mengetengahkan bagaimana prinsip-prinsip Pembangunan Bandar CHASE di Wilayah Persekutuan selari dengan lapan kriteria Sistem Kualiti Baukultur sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pelopor dalam mengamalkan prinsip Baukultur di luar benua Eropah.
"Baukultur harus menjadi satu konsep sejagat dan bukan hanya konsep di benua Eropah.
“Ia adalah rangka kerja global yang menuntut tanggungjawab bersama bagi membina bandar yang lestari dan berperikemanusiaan," katanya.
Dr Zaliha berkata Wilayah Persekutuan bersedia menjadi perintis dalam menterjemah prinsip-prinsip Baukultur kepada dasar, pelaksanaan dan reka bentuk pembangunan bandar sekali gus menjadikan ia sebagai model bagi wilayah lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial