Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TPM Fadillah Adakan Lawatan Kerja Ke Perancis Teroka Peluang Kerjasama Dalam Bidang Peralihan Tenaga

10/05/2025 12:20 PM

PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan menyertai Global Water Summit (GWS) 2025 anjuran Global Water Intelligence (GWI) serta mengadakan lawatan kerja rasmi ke Perancis bermula hari ini hingga 14 Mei bagi meneroka peluang kerjasama antara Malaysia dan kedua-dua negara dalam bidang peralihan tenaga.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah dijemput untuk menyampaikan ucaptama semasa sesi plenari pembukaan GWS pada 13 Mei ini yang bertemakan Delivering the Economics of Water.

GWS merupakan platform untuk menyampaikan hala tuju strategik sektor air negara ke arah menjadikan sektor air sebagai pemangkin pembangunan mampan dan daya saing ekonomi negara.

"Ini seterusnya menjadikan sektor air sebagai hab ekonomi menjelang tahun 2040 selaras dengan visi Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040)," menurut kenyataan PETRA di sini hari ini.

PETRA memaklumkan tajuk ucapan Fadillah adalah berkisarkan "Transforming Mindsets, Transforming Approaches: Malaysia's Vision for Sustainable Water Management".

PETRA berkata undangan kepada Fadillah untuk menyampaikan ucaptama di sesi Plenari Pembukaan persidangan itu adalah berdasarkan kepada pencapaian Malaysia yang telah berjaya menjadi negara contoh melaksanakan tadbir urus yang baik dalam pengurusan air iaitu usaha Malaysia ke arah penggunaan air pulih guna sebagai sumber alternatif bagi kegunaan perindustrian dan peluasan perkhidmatan sanitasi kepada komuniti berpendapatan rendah.

Di samping itu, Fadillah juga akan mengadakan lawatan penanda aras ke loji janakuasa tenaga nuklear pada 12 Mei ini dengan kerjasama pihak Electricite de France (EDF).

PETRA berkata lawatan itu adalah selaras dengan inisiatif kerajaan berkaitan keperluan tenaga nuklear sebagai opsyen campuran bahan api tenaga di Malaysia untuk memastikan sekuriti bekalan tenaga di negara ini.

Selain itu perbincangan dan sesi perkongsian imu bersama enam kementerian dan agensi utama di Perancis yang bertanggungjawab terhadap pembangunan teknologi dan tadbir urus nuklear Perancis juga akan diadakan pada 13 Mei ini.

Ia akan melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kewangan Perancis, Electricite de France (EDF), National Agency for Radioactive Waste Management (ANDRA), French Authority for Nuclear Safety and Radiation Protection (ASNR), International Institute of Nuclear Energy (12EN) serta French Alternative Energies and Atomic Energy Commission (CEA).

Fadillah juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Tenaga dan Industri Perancis, Marc Ferracci untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang peralihan tenaga serta mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

PETRA berkata potensi kerjasama dengan Perancis meliputi aspek keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga, penggubalan dasar, kawal selia dan perundangan serta memahami cabaran dan kaedah penyelesaian terbaik.

Lawatan kerja rasmi ke Perancis ini merupakan antara langkah memperkasa Malaysia sebagai destinasi pelaburan dunia yang membuka peluang kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam sektor tenaga. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan