KUALA NERUS, 18 April (Bernama) -- Sebanyak 12,004 individu di Terengganu telah dikesan terlibat dalam aktiviti penagihan dan penyalahgunaan dadah sepanjang 2024, menjadikan ia antara negeri tertinggi di Pantai Timur.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mencatatkan jumlah tangkapan penagih dan penyalahguna dadah serta bahan terlarang paling banyak iaitu 2,948 orang, diikuti Besut (1,897) dan Kemaman (1,852 orang).
Bagi jenis dadah pula, beliau berkata Ampethamine Type Stimulants (ATS) seperti pil kuda dan syabu mencatatkan penggunaan tertinggi iaitu 84.6 peratus dan diikuti dadah jenis Opiat (14 peratus) serta ganja (0.8 peratus).
“Lebih membimbangkan apabila aktiviti penagihan dan penyalahgunaan dadah ini turut melibatkan golongan berpendidikan dengan 42.3 peratus individu yang dikesan mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (0.5 peratus), manakala sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (0.3 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ramah Mesra Klien Bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri di Dewan Kuliah Utama, Universiti Sultan Zainal Abidin di sini hari ini.
Shamsul Anuar berkata kerajaan sentiasa memandang serius usaha menangani penyalahgunaan dadah di negara ini hingga tertubuhnya jawatankuasa membanteras masalah tersebut yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pada 2024 juga telah memperluaskan lagi akses kepada penagih dadah untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan bagi masalah ketagihan bahan terlarang itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial