AM > BERITA

MYNIC BERTEKAD KUKUHKAN PENJENAMAAN DIGITAL MELALUI PEMERKASAAN DOMAIN.MY

30/05/2024 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- MYNIC Berhad (MYNIC), sebuah agensi di bawah Kementerian Digital, bertekad untuk memastikan organisasi dan individu di negara ini bergerak selari dengan arus perkembangan ekonomi digital.

Pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh agensi yang menjaga satu daripada aset digital negara ini dengan yang terbaharu Kempen RevUp and Register yang dilancarkan pada 1 Mei 2024.

Kempen itu bermatlamat menarik lebih ramai rakyat Malaysia terutama usahawan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) menggunakan domain .MY melalui laman sesawang serta e-mel untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata agensi itu, yang kini memiliki kira-kira 300,000 pengguna domain sejak ditubuhkan pada 1987 telah memperkenal pelbagai program dalam usaha melatih masyarakat ke arah memperluas perniagaan digital dan melengkapkan ekosistem e-dagang mereka.

"Domain penting untuk menjadikan sesebuah perniagaan itu lebih stabil, mampan selain mengurangkan risiko penipuan dalam talian.

"Tahap kepercayaan pembeli juga akan meningkat terhadap perniagaan yang menggunakan domain .MY kerana kalau nak ada domain .MY mesti memiliki lesen perniagaan yang sah," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini baru-baru ini.

Beliau berkata perolehan domain turut memainkan peranan penting dalam mentransformasi suatu perniagaan ke dalam talian selain jaringan perniagaan serta penjenamaan digital dapat diperluas hingga ke peringkat global.

Menyentuh mengenai Kempen RevUp and Register, Hasnul berkata program itu adalah antara usaha MYNIC dalam menyahut seruan kerajaan khususnya Kementerian Digital bagi memacu agenda negara dalam kalangan rakyat.

"Kempen ini adalah satu inisiatif kami untuk memberi dorongan kepada rakyat Malaysia mendaftar domain .MY dan kebaikannya ialah jika mereka menggunakan nama domain itu dengan cara yang betul, ia akan menguatkan serta memberi keterlihatan yang lebih banyak kepada perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata pendaftar baharu sepanjang tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2024 berpeluang memenangi hadiah lumayan berjumlah RM200,000 berupa kereta Proton X50, emas, peralatan elektrik dan elektronik seperti PlayStation 5, telefon bimbit serta tablet.

Hasnul juga berkata beberapa siri khas akan dianjur dari 1 Mei hingga akhir tahun ini bagi menggandakan penyertaan pendaftar baharu.

"Tempoh istimewa seperti sambutan Aidiladha, Bulan Kebangsaan, Hari Deepavali serta akhir tahun akan memberi peluang kepada pendaftar baharu untuk menerima dua kali penyertaan sekali gus membuka peluang yang lebih besar untuk mereka memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan.

“Ada antara siri khas ini yang akan memberi tawaran penyertaan hingga 10 kali ganda," katanya sambil menambah para pemenang bagi kempen ini akan diumum pada Januari 2025.

Beliau berkata MYNIC turut membangunkan satu aplikasi yang membolehkan warganet mencari pelbagai jenis perniagaan, barangan, pejabat kerajaan, tempat makan dan pusat kesihatan di Malaysia.

"Tahun ini kita mulakan projek rintis, ia adalah pertukaran direktori Malaysia, direktori tempatan yang menjadi pusat sehenti untuk rakyat Malaysia mencari maklumat mengenai perniagaan lokal.

"Matlamat kami adalah untuk membuat satu direktori seperti Google My Business. Itu perkara menarik yang penting, mengharapkan pengguna dapat cari semua informasi di MYDX," katanya.

Hasnul berkata aplikasi itu, yang dikenali sebagai MYDX, menghubungkan pengguna dengan para usahawan PMKS dan perkhidmatan ditawarkan mereka.

Selain itu, MYNIC akan terus komited dalam membimbing usahawan PMKS untuk kembali teguh dalam mencapai keuntungan positif melalui penyelesaian digital yang inovatif.

“Program myKomuniti.my diperkenal khas untuk peserta alumni Latihan Keusahawanan Digital kendalian kami yang merupakan sebuah platform di mana ahli akan mendapat bimbingan berterusan seperti maklumat terkini perubahan algoritma pemasaran digital, latihan tambahan, peningkatan kemahiran dan perkembangan terkini tentang dunia digital.

“Kandungan pembelajaran akan sentiasa dikemas kini seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa bagi memastikan mereka dapat mengadaptasi perniagaan dalam talian secara dinamik di samping mengukuhkan penjenamaan produk masing-masing,” katanya.

Hasnul juga berkata agensi itu kini dalam proses mengeksport domain .MY di peringkat global tahun ini bagi mempromosi, mengembang dan meningkatkan penggunaannya.

"Bulan ini kami sedang bekerjasama dengan beberapa nama besar pendaftar antarabangsa untuk mereka bersama dengan kami dan apabila mereka membuat keputusan itu, mereka sudah boleh mula menjual nama domain .MY.

“Inisiatif ini meletakkan jenama dan identiti .MY itu sendiri di peringkat global, mengukuhkan lagi kedudukan .MY melangkaui sempadan geografi dan dengan menjadikan domain .MY boleh diakses serta dikenali di seluruh dunia, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti .MY sekali gus meningkatkan kepercayaan pengguna,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan