AM > BERITA

Pengunjung Hari Muzium Antarabangsa Berpeluang Rasai Tempat Bersejarah

17/05/2024 02:42 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Pameran Tapak Arkeologi Lembah Bujang menggunakan teknik Teknologi Augmented Reality (AR) yang dibawa Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menjadi antara tarikan utama Hari Muzium Antabangsa (HMA) 2024 Peringkat Kebangsaan di Dewan Sri Pinang, Padang Kota, Pulau Pinang yang bermula Isnin lepas.

Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A.Kasim berkata 22 muzium, 15 jabatan dengan 37 pameran dari seluruh negara serta dari Indonesia dan Singapura terlibat dalam HMA tahun ini, menawarkan pelbagai keistimewaan bagi menarik minat pengunjung sepanjang sembilan hari program yang akan berakhir 22 Mei ini.

“Pengunjung boleh merasai suasana di tapak arkeologi bagi menghayati, dan melihat sendiri suasana kerja-kerja ekskavasi secara interaktif dengan menggunakan teknik AR,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata untuk kali ini JMM turut mempamerkan 25 jenis artifak dan koleksi arkeologi, etnologi dan spesimen alam semula jadi antaranya Martaban, manik Lembah Bujang, peralatan batu, kulit siput, pensol, rehal dan replika fosil Gua Naga Mas selain pelbagai aktiviti antaranya melukis motif atas tembikar, mencantum koleksi seramik dan meneka bilangan siput.

Sambutan HMA dengan tema ‘Muzium Untuk Pendidikan dan Penyelidikan’ itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow esok, dan tema itu dipilih bagi mendekatkan lagi masyarakat dengan muzium supaya orang ramai dapat memahami fungsinya, selain ia juga dapat meningkatkan jati diri seseorang individu itu.

“Di peringkat antarabangsa muzium merupakan sebuah institusi pendidikan tidak formal bagi  menyebarkan pengetahuan kepada orang ramai hal-hal berkaitan sejarah, budaya dan alam semulajadi.

“Di HMA ini pengunjung boleh mengikuti pelbagai aktiviti di sepanjang festival bagi menambah ilmu pengetahuan mengenai sejarah dan budaya melalui pameran serta seminar disediakan,” katanya.

Antara aktiviti yang boleh disertai orang ramai di HMA adalah seperti segmen Muzium Bersama Komuniti yang ditempatkan di Seh Tek Tong Cheah Kongsi, dan Lebuh Armenian, yang membawa pengunjung melawat ke rumah ibadat pelbagai agama bagi memberi kefahaman kepada budaya dan amalan pelbagai masyarakat di negara ini.

Kamarul Baharin berkata Muzium Fun Walk pada 18 Mei pukul 7 malam bertemakan ‘sleepwalking’ adalah antara kelainan yang dibawa kali ini dengan menyasarkan 3,000 penyertaan.

“Peserta akan berjalan sejauh 4.3 kilometer dengan memakai baju tidur bermula dari Taman Mulia ke Taman Botani. Selain tu program HMA turut mengadakan sesi soal jawab bersama kurator dan masyarakat  bagi memberi pendedahan kepada orang ramai skop pekerjaan  di muzium.

“Dalam bidang kerja muzium ini ada kurator, pereka, pengumpul dan macam-macam, tetapi orang luar tengok muzium ini satu sahaja, iaitu pameran. Jadi kerja di  belakang tadbir mereka tidak tahu, maka segmen ini mungkin boleh menanam minat mereka untuk ketahui mengenai kerja yang ada di muzium,” katanya.

Tidak hanya pameran, seminar juga turut diadakan dan disampaikan oleh penceramah antarabangsa dari negara jiran antaranya Malay Heritage Centre, Singapura dan Asosiasi Museum Indonesia (AMI) Kalimantan selain akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air seperti Lah Ahmad, Akim, Douglas Lim dan Faizal Tahir yang akan menghiburkan pengunjung di HMA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan