AM > BERITA

DUN PAHANG UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA MUTANG TAGAL

10/05/2024 08:31 PM

KUANTAN, 10 Mei (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal, yang meninggal dunia pagi tadi. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan ucapan itu, selepas usul tergempar yang dibawa beliau bagi merakamkan ucapan itu diluluskan sebulat suara, pada persidangan DUN Pahang di  Wisma Sri Pahang di sini. 

“Ucapan takziah kita tujukan kepada seluruh ahli keluarga mendiang, Mutang yang meninggal dunia pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau merupakan Speaker Dewan Negara ke-20,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara mengesahkan Mutang, 69, meninggal dunia pada 11.46 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, selepas menerima rawatan di situ setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei.

Mutang meninggalkan isteri Datin Ho May Leng dan tiga anak.

Pada 19 Feb, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan