AM > BERITA

337 STESEN PEMANCAR 5G BEROPERASI DI PAHANG

10/05/2024 08:04 PM

KUANTAN, 10 Mei (Bernama) -- Sebanyak 337 struktur stesen pemancar 5G telah siap dan beroperasi setakat 30 April lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal. 

Beliau berkata baki 24 struktur disasarkan untuk disiapkan menjelang penghujung suku kedua tahun ini sekali gus menepati sasaran liputan 5G di kawasan berpenduduk, seperti ditetapkan oleh Digital Nasional Berhad.

"Bagi pelaksanaan fasa berikutnya, ia dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dengan menyasarkan lebih banyak lagi kawasan liputan 5G di lokasi baharu dengan tumpuan diberikan di kawasan Pahang Barat khususnya di Raub, Lipis, Bentong dan Cameron Highlands bagi mencapai sasaran liputan 5G di kawasan berpenduduk di peringkat nasional iaitu 80 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Beliau berkata sebanyak 143 menara telekomunikasi baharu dengan liputan 4G telah siap dan beroperasi setakat April lepas. 

"Tumpuan sedang diberikan ketika ini bagi menyiapkan baki 127 menara lagi yang kini dalam pelbagai fasa pelaksanaan, dan akan siap beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung tahun ini," katanya 

Sementara itu, Fadzli berkata kerajaan negeri akan menghantar penyertaan kontinjen Pahang ke Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada Ogos depan, membabitkan 45 orang pengurus pasukan, 127 jurulatih, 327 atlet lelaki dan 276 atlet wanita.

Beliau turut memaklumkan rumput padang Stadium Darul Makmur ketika ini akan dinaik taraf daripada rumput Cow Grass kepada rumput Bermuda dengan kerajaan negeri bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta. 

-- BERNAMA 


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan