AM > BERITA

INSIDEN POKOK TUMBANG: WARIS KELUARGA LAYAK TERIMA FAEDAH PERKESO - SIM

10/05/2024 07:35 PM

SHAH ALAM, 10 Mei (Bernama) -- Waris keluarga kepada seorang lelaki yang maut dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur 7 Mei lalu, layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata hasil semakan oleh Skuad Perkeso Prihatin mengesahkan bahawa Md Rizal Atan, 47, yang meninggal dunia ketika insiden itu merupakan pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Jan 1995.

Sim berkata balu Allahyarham iaitu Norpahidah Mat Zaman bakal menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM3,400 sepanjang hayat.

Manakala empat anaknya masing-masing berumur antara 3 hingga 18 tahun diberikan manfaat FOT sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

“Sebagai pencarum, waris keluarganya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 secara sekali bayar oleh Perkeso menerusi Skim Bencana Pekerjaan bawah Akta 4,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sim berkata kesedaran majikan dalam melunaskan tanggungjawab untuk mencarum pekerjanya telah meringankan beban keluarga tersebut bagi melalui episod hitam tersebut menerusi perlindungan jaringan keselamatan sosial pemberian Perkeso menerusi sokongan kewangan.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, Md Rizal yang bekerja sebagai pemandu sejak 2018 meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya akibat terlibat dalam insiden pokok tumbang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan