AM > BERITA

JUALAN RAHMAH JADI TUMPUAN ORANG RAMAI DI KARNIVAL KPDN 2024 DI PERLIS

10/05/2024 04:59 PM

KANGAR, 10 Mei (Bernama) -- Program Jualan Rahmah (PJR) di Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2024 Perlis di Dataran Lapang, Kangar Jaya di sini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Sejak awal pagi lagi orang ramai sudah mula berpusu-pusu tiba ke tapak Karnival selama tiga hari itu, yang bermula hari ini.

Seorang pengunjung Syahirah Ahmad, 30, dari Arau berkata baginya tarikan utama karnival itu pastinya PJR, yang membolehkan beliau membeli barangan keperluan dapur pada harga yang amat berpatutan.

"Saya datang awal pukul 9 pagi untuk beli barangan dapur di Jualan Rahmah ini, saya tidak akan lepaskan peluang untuk sertainya kalau ada terlihat iklan di Facebook KPDN mengenai Jualan Rahmah ini," katanya ketika ditemui Bernama di PJR itu hari ini.

Syahirah yang bekerja sendiri menyifatkan PJR mampu meringankan beban rakyat memenuhi keperluan keluarga kerana barangan yang ditawarkan itu pada harga murah.

Berkongsi pendapat sama, seorang penjawat awam Hasrul Razin, 42, dari Bintong, Kangar berkata PJR di Karnival KPDN 2024 itu menawarkan banyak barangan keperluan dengan harga yang murah berbanding di kedai biasa.

"Alhamdulillah Jualan Rahmah di sini banyak barangan keperluan bermula dari barangan dapur hingga ke produk cucian, kalau sebelum ni saya rasa tak ada jual cecair pencuci pakaian, tetapi di sini kali ini ada dengan harga yang lebih jimat untuk orang ramai," katanya.

Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar ketika ditemui berkata penganjuran PJR itu di negeri itu setakat April lepas merekodkan nilai jualan RM1.4 juta dengan penganjuran sebanyak 69 kali.

"Alhamdulillah PJR ini telah memberi manfaat kepada 40,000 penguna dan kita masih meneruskan konsep Jualan Rahmah secara dalam premis, kawasan luar, dan Jualan Rahmah bergerak di Perlis," katanya.

Beliau berkata orang ramai dijemput datang beramai-ramai memeriahkan Karnival KPDN 2024 yang menawarkan pelbagai program yang menarik antaranya Jualan Rahmah, Pertandingan Sukan Rakyat, Cabutan Bertuah dan Kempen Beli Barangan Malaysia.

"Karnival KPDN 2024 selama tiga hari yang julung kalinya diadakan di Perlis itu tampil dengan reruai-reruai yang selesa untuk orang ramai membeli barang dan melakukan pelbagai aktiviti," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan