AM > BERITA

LKIM SASAR TAMBAH ENAM KEDAI NELAYAN TAHUN INI

10/05/2024 03:04 PM

CHUKAI, 10 Mei (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan untuk menubuhkan enam lagi Kedai Nelayan di seluruh negara tahun ini bagi membantu nelayan memasarkan produk keluaran mereka.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata setakat ini sebanyak 14 Kedai Nelayan telah dibuka di 10 negeri bagi meningkatkan pembabitan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dalam projek ekonomi terutama industri perikanan.

Beliau berkata LKIM menyediakan dana sebanyak RM100,000 bagi tujuan menaik taraf premis dan modal pusingan untuk  penubuhan sesebuah Kedai Nelayan.

"PNK kita banyak keluarkan produk hiliran seperti keropok dan sebagainya. Tetapi ruang untuk pemasaran sangat terhad, jadi kita ambil inisiatif buka Kedai Nelayan untuk persatuan pasarkan sendiri barangan mereka.

"Penubuhan kedai ini bergantung kepada kemampuan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di mana kita lihat potensi setiap PNK yang aktif dan keupayaan mereka untuk membukanya kerana tidak semua persatuan aktif dalam projek ekonomi," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kedai Nelayan PNK Kemaman di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Kemaman di sini hari ini.            

Turut hadir Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pelesenan LKIM, Abdul Salim Tajudin dan Pengarah LKIM Terengganu, Ahmad Nazri Madri.

Muhammad Faiz berkata 14 PNK yang mengusahakan Kedai Nelayan termasuk PNK Melaka Barat: PNK Tanjung Dawai; PNK Kuantan; PNK Bachok; PNK Tumpat; PNK Beladin/Saribas; PNK Kota Belud; PNK Kudat; PNK Besut; PNK Setiu; PNK Kemaman; PNK Kuala Muda; PNK Sepang dan PNK Kuala Langat.

Dalam pada itu beliau berkata LKIM melalui bahagian Ekonomi Asas Tani telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.33 juta bagi penganjuran pelbagai program keusahawanan di Terengganu bermula Januari 2023 hingga Mei tahun ini.

Antara program yang dijalankan termasuk Program Pembangunan Keusahawanan: Geran Pemadanan; Program Pembangunan Usahawan: Program Agropreneur Muda; Program Pembesaran Unjam-Unjam Komuniti; dan Program Peningkatan Keupayaan Akuakultur Komuniti Nelayan.

"Sehingga April 2024, terdapat seramai 136 orang usahawan pemprosesan Industri Asas Tani LKIM di negeri Terengganu," katanya.          

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Faiz berkata bekalan ikan di seluruh negara tidak terjejas meskipun negara dilanda cuaca panas dan kering sejak April lalu.

Menurut beliau, setakat ini aktiviti pendaratan ikan di 48 Kompleks LKIM seluruh negara berjalan seperti biasa dengan anggaran 220,000 metrik tan sebulan.

"Cuaca panas tidak menjejaskan aktiviti di laut. Lagi pun di Malaysia sebahagian besar bekalan ikan bergantung kepada bot-bot besar. Tangkapan laut lebih luas di zon B dan C," katanya.

Beliau menambah, jumlah pendaratan meningkat daripada 1.89 juta metrik tan pada 2022 kepada 2.25 juta metrik tan tahun lalu.            

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan