AM > BERITA

PELAJAR IPT DAPAT AKSES MAKLUMAT KEMENTERIAN, AGENSI DALAM DUA MINGGU - ANWAR

10/05/2024 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bakal mendapat akses kepada maklumat serta kajian sedia ada di peringkat kementerian dan agensi kerajaan dalam tempoh dua minggu, sebagai usaha memperkasakan teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akses itu akan diberikan menerusi perkomputeran awan (cloud computing) yang akan diselaraskan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“…perkomputeran awan memang terbatas sekarang ini, (tapi) dasar baru kita, kita nak segerakan (akses maklumat dan kajian kepada pelajar)…melalui agensi nanti saya minta kementerian berikan sekali lagi peringatan supaya pelajar ada akses kepada agensi-agensi dan maklumat yang sedia ada.

“… bagi kita dua minggu semua universiti akan terima, Menteri Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang) ada dia selaraskan. Saya bagi dua minggu siap untuk semua badan-badan penyelidikan yang terlibat antara kementerian dan akan disampaikan kepada semua universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada “Sesi Temu Anwar” sempena program Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS 2024) di Pusat Dagangan Putra (WTC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar melancarkan Fakulti AI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Konsortium AI Malaysia (MAIC) dan Hala Tuju Bakat AI Malaysia (AI Talent Roadmap for Malaysia) 2024-2030.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam ucapannya berkata Fakulti AI UTM berjaya ditubuhkan tidak sampai empat bulan selepas diminta oleh kerajaan dengan kurikulum dipelopori pakar terdiri daripada cendekiawan tempatan dan luar negara.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Fakulti AI juga menubuhkan Konsortium AI Malaysia melibatkan universiti awam dan swasta di negara ini yang akan mempunyai tumpuan dan fokus khusus bagi setiap institusi.

“KPT menyahut seruan ini bagi membawa Malaysia bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global. Usaha sama ini menuntut kerjasama pelbagai pihak dan inilah langkah diambil oleh KPT melalui konsortium dalam mendepani kemajuan AI.

“Secara tidak langsung, pembangunan AI ini melibatkan keseluruhan ekosistem yang berkaitan termasuklah IPT, agensi kerajaan dan swasta serta industri berkaitan,” katanya.

Justeru, Zambry berkata negara perlu bersiap sedia melakukan anjakan sistem pendidikan negara dengan memanfaatkan AI dan Fakulti AI UTM akan menjadi pemangkin kepada sistem pendidikan bersepadu bagi teknologi itu.

Selain itu, beliau berkata ekonomi negara juga akan turut ditransformasikan sebagai satu bentuk ekonomi baharu yang diintegrasikan dengan AI, bagi memacu pertumbuhan mampan dan berdaya saing.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan