AM > BERITA

GREAT EASTERN TAKAFUL NAIK KERETA API 'BALIK KAMPUNG', SAMBUTAN RAYA PENUH GAYA

10/05/2024 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Ini baru pengalaman 'balik kampung' sebenar. Ungkapan paling tepat bagi sambutan Aidilfitri penuh bergaya oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dengan membawa pekerjanya menaiki kereta api lokomotif dari Kuala Lumpur ke Tampin, Negeri Sembilan baru-baru ini yang  memberi pengalaman unik dan membangkitkan nostalgia.

Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman berkata sambutan hari raya bertemakan ‘Melayu Klasik’ itu bagi membolehkan warga GETB merasai pengalaman musim perayaan yang menyeronokkan dan klasik.

“Sebagai pengendali takaful keluarga pertama yang menyewa 12 gerabak sempena meraikan hari raya, kami berhasrat memberikan yang terbaik bagi memastikan keseronokan berterusan dan penglibatan pekerja dalam acara yang dijalankan.

“Amat menggembirakan apabila melihat nilai-nilai kebersamaan ini dan ia juga antara usaha kami untuk menunjukkan penghargaan kepada setiap pekera yang tidak pernah jemu menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan syarikat,” katanya menerusi kenyataan hari ini sambil menambah acara itu lebih istimewa dengan kehadiran golongan kurang bernasib baik.

Sebagai langkah untuk mengukuhkan syarikat ke arah membantu mereka yang memerlukan, beliau berkata GETB telah mengundang kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Harapan untuk menyertai sambutan itu. 

Shahrul berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat di bawah GET-Care itu fokus kepada memberi pengalaman sambutan hari raya yang menyeronokkan kepada semua tetamu.

Selain juadah raya yang enak, turut disajikan pelbagai makanan ringan zaman kanak-kanak hingga membuatkan tetamu terimbau kenangan silam yang mengujakan. 

Terdapat juga kios foto, cabutan rezeki dan pertandingan pakaian terbaik serta persembahan pemuzik jalanan bagi memeriahkan lagi sambutan.

“Komitmen untuk meningkatkan kebajikan pekerja dengan mengadakan sambutan Raya Kampong GETB ini menggambarkan Great Eastern Takaful sebagai pertubuhan yang mengutamakan insan.

“Malah, Great Eastern Takaful telah dinamakan sebagai Majikan Terbaik oleh Anugerah Majikan Terbaik Kincentric  2023. Penghargaan berprestij ini membuktikan kesungguhan syarikat dalam mewujudkan persekitaran tempat kerja menarik yang memacu inovasi dan memupuk pengalaman sukar dilupakan bagi pekerjanya,” katanya. 

GETB, syarikat usaha sama antara i Great Capital Holdings Sdn Bhd (i-Great), anak syarikat  Great Eastern Holdings Limited, dan Koperasi Angkatan Tentera (M) Berhad komited dalam memberikan penyelesaian takaful keluarga yang menyeluruh sejak 2010. 

Hingga kini syarikat tersebut telah menerima pelbagai anugerah penghargaan peringkat tempatan dan antarabangsa seperti Penyedia Takaful Terbaik Malaysia 2022 oleh Global Business Outlook Awards, Jenama Penyelesaian Takaful Terbaik oleh The BrandLaureate BestBrands Awards dan Penyedia Penyelesaian Takaful Terbaik oleh Global Islamic Finance Awards (GIFA) pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan