AM > BERITA

GARIS PANDUAN BAHARU TANGANI POKOK BERUSIA DAN BERISIKO SIAP JULAI INI - DBKL

10/05/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang serta menyediakan panduan baharu dengan memberi fokus kepada pokok berusia dan berisiko tinggi.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan garis panduan baharu itu dijangka siap Julai ini, namun pihaknya akan terus menjalankan kerja-kerja pemantauan terhadap pokok berisiko dengan mengambil kira aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Menurut kenyataan itu, hingga kini sebanyak 175 pokok dikenal pasti berisiko tinggi iaitu sebahagian besarnya berusia melebihi 50 tahun dengan 147 daripadanya telah ditebang.

“DBKL menerusi kontraktor yang dilantik telah menjalankan  pemeriksaan ke atas pokok yang berusia lebih 30 tahun atau yang mempunyai ukur lilit melebihi 1.5 meter di sekitar Kuala Lumpur sejak 2019.

“Pemeriksaan berkala telah dilaksanakan oleh arboris bertauliah dan pemeriksaan terakhir adalah pada Februari 2024 dengan 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan pokok berisiko adalah merujuk kepada pokok yang berpotensi tinggi untuk mengalami kegagalan struktur serta tumbang dan penilaian risiko pokok pula dilakukan dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

“Jika keadaan pokok didapati tidak memuaskan, penilaian lanjut diikuti dengan tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan pokok akan dilaksanakan,” menurut DBKL.

Dalam pada itu, pihak DBKL turut menzahirkan dukacita dan takziah kepada kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lepas.

"Bagi mangsa yang terlibat, DBKL akan membantu untuk memudah cara apa-apa tuntutan kepada pihak yang sewajarnya dengan menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan)," menurut kenyataan itu.

Pada 7 Mei lepas, kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang yang berlaku kira-kira 2 petang telah meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan