AM > BERITA

DULU TAK SUKA, SEKARANG MINAT BIDANG KEWARTAWANAN

10/05/2024 11:10 AM

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Tak kenal maka tak cinta. Itu pepatah yang sesuai untuk menggambarkan situasi Mohd Erwannizam Osmand, 23, yang dahulunya tidak meminati bidang kewartawanan disebabkan stereotaip negatif orang ramai.

Berkongsi kisahnya kepada Bernama, pemuda berasal dari Kudat, Sabah itu berkata selepas menamatkan Tingkatan Enam, beliau berhasrat menyambung pengajian dalam bidang pendidikan namun atas nasihat guru, haluannya beralih pada kewartawanan.

Selepas lebih dua tahun melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, rasa cinta Mohd Erwannizam terhadap bidang itu semakin mendalam dan beliau kini bercita-cita mahu menjadi wartawan politik atau sukan.  

“Dari kecil saya dimomokkan kononnya kerja wartawan ini (mengamalkan sikap) berat sebelah, jadi itu yang membuatkan saya tidak berminat. Tapi tidak sangka atas saranan cikgu, saya belajar mengenainya dan kini saya dah mula cintakan bidang kewartawanan ini. 

"Jangan pandang rendah pekerjaan ini kerana kemenjadian seseorang dalam bidang ini bukan mudah, seorang wartawan itu hebat, dia boleh menulis atau bercakap dengan sempurna yang mana kemahiran tersebut mungkin tidak dimiliki semua orang,” katanya yang kini berada dalam semester kelima. 

Bagi Maria Madelina Anak Kiri, 22, juga dari jurusan sama di UiTM Shah Alam, menceburi dunia kewartawanan merupakan impiannya sejak kecil dan setelah mengikuti pengajian, beliau semakin cekap menulis berita selain kemahiran sosialnya bertambah baik. 

“Dulu saya seorang introvert, bila lihat penyampai berita dalam televisyen bercakap dan pandai tampilkan diri mereka, saya kagum dan mahu menjadi seperti mereka. Walaupun orang cakap sesiapa sahaja boleh jadi wartawan, memang betul, tetapi ada beza antara yang profesional atau tidak dari segi penyampaian dan penulisan.

“Kalau kita lihat berita yang dihasilkan mereka yang ada latar belakang kewartawanan, lebih beretika dan tepat, berbanding wartawan segera yang tidak menyemak fakta terlebih dahulu sebelum buat laporan atau berkongsi,” katanya. 

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Sains Sosial (Komunikasi Media) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) R. Sivavartini menyifatkan kerjaya sebagai wartawan seperti melihat dunia dari kaca mata yang lebih luas dan perspektif yang berbeza.

“Saya memang minat menulis sejak kecil. Jadi bagi saya untuk jadi wartawan yang bagus mereka perlu mempunyai ilmu dalam bidang itu sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, pensyarah kewartawanan UiTM Shah Alam Nurul Iman Muhammad Dimyati berkata meskipun terdapat sesetengah pihak yang mempertikaikan program kewartawanan di universiti ketika ini, beliau yakin pengajian itu tetap diperlukan dan masih relevan walaupun berlaku ledakan komunikasi.

Beliau berkata meskipun bentuk dan alat komunikasi terus berevolusi dengan perkembangan teknologi, prinsip-prinsip asas kewartawanan seperti kebolehpercayaan, kewartawanan berkualiti dan etika kewartawanan tetap merupakan perkara penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap wartawan.

“Program kewartawanan juga membekalkan pelajar dengan kemahiran-kemahiran seperti berfikir secara kritikal, penulisan yang efektif dan keupayaan untuk menyampaikan maklumat dengan jelas, yang merupakan kemahiran yang berharga dalam pelbagai bidang pekerjaan,” katanya.

Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini, mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" dan kemuncak sambutan bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Pelbagai program dirangka antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan “Evolusi Media dalam Era Digital" serta program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan serta zon Tengah yang akan dilancarkan pada 24 Mei ini oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 dan sambutan itu bertujuan meraikan sumbangan pengamal media yang berperanan membentuk minda masyarakat bermaklumat selain memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan