AM > BERITA

KPT AKAN ADAKAN PERTEMUAN BERHUBUNG DASAR BAHARU BELAJAR DI AUSTRALIA

09/05/2024 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bertemu dengan kerajaan Australia dalam masa terdekat berhubung tindakan negara itu menaikkan had minimum wang simpanan pelajar antarabangsa untuk perolehan visa pelajar.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau akan mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya di Australia bagi mengetahui dasar semasa negara itu.

“Kita ingin tahu sama ada dasar itu melibatkan semua negara ataupun hanya negara tertentu.

“Jadi, langkah pertama yang akan kita lakukan ialah memastikan perbincangan dengan pihak berkuasa Australia dahulu,” katanya selepas merasmikan pelancaran logo baharu Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata untuk konteks visa pelajar pula, isu itu bukan hanya melibatkan KPT, malah turut membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Jadi, kalau kita nak mengadu keadaan ini, kita mesti bersama-sama dengan KDN untuk mendapatkan maklum balas daripada kerajaan Australia berkaitan perkara itu,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Australia akan menaikkan had minimum wang simpanan pelajar antarabangsa bagi mendapatkan visa.

Negara itu juga memberi memberi amaran kepada beberapa institusi pendidikan mengenai amalan penipuan pengambilan pelajar, sebagai sebahagian daripada usaha mengekang penghijrahan.

Mulai esok (10 Mei), pelajar antarabangsa mesti menunjukkan bukti memiliki wang simpanan sekurang-kurangnya A$29,710 (RM97,787) untuk mendapatkan visa, peningkatan kedua dalam tempoh tujuh bulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan