AM > BERITA

UKMSC UMUM PENJENAMAAN SEMULA, LANCAR LOGO KORPORAT BAHARU

09/05/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC) hari ini memperkenalkan logo korporat baharunya selepas lebih dua dekad beroperasi di bawah naungan UKM Holdings Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milikan penuh UKM.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Holdings Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata logo baharu di bawah jenama UKMSC itu adalah aspirasi syarikat dan strategi perniagaan penjagaan kesihatan yang lebih ke hadapan dalam aspek inovasi teknologi serta dunia pendigitalan.

“Pelancaran logo ini merupakan penjenamaan semula buat UKMSC kerana antara lain kita perlu seiring dengan perubahan teknologi perubatan yang merupakan cabaran utama kepada kami selain memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi,” katanya.

Majlis pelancaran logo baharu UKMSC itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sini.

Ahmad Shalimin yang juga Ahli Lembaga Pengarah UKM memaklumkan permintaan terhadap penjagaan kesihatan yang meningkat mendorong UKMSC mewujudkan cawangan lebih besar iaitu UKMSC kedua yang akan siap pada 2026.

Zambry pula berkata kejayaan UKM dalam membangunkan UKMSC merupakan salah satu langkah ke hadapan dalam memastikan kepakaran yang ada di peringkat UKM mampu menjana pendapatan kepada kemandirian kewangan universiti. 

Katanya ini merupakan salah satu langkah yang bagus dan melalui  pengurusan kewangan serta urus tadbir yang baik, beliau percaya usaha-usaha sebegini akan memberikan pulangan yang baik kepada sesebuah universiti seperti mana yang dapat dilihat di UKM pada hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, bilangan pesakit diterima oleh UKMSC semakin meningkat mencecah 40,000 orang setahun.

UKMSC yang terletak di tingkat tujuh Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) itu menurutnya adalah entiti swasta untuk menyokong pengurusan HCTM bagi membantu pesakit yang perlu mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Saya memberi sokongan penuh agar UKMSC mempunyai bangunannya sendiri bagi menampung permintaan semasa, justeru pelancaran logo baharu UKMSC ini merupakan satu langkah permulaan kepada penjenamaan semula hospital,” katanya.

Ketika ini UKMSC mempunyai 56 katil, 140 orang pakar klinikal dan antara perkhidmatan utama yang ditawarkan adalah pembedahan, ortopedik, obstetrik dan ginekologi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan